'Saya berjanji beri kerjasama penuh dengan kerajaan baru' - Sirul mahu pulang dan dedah kejadian kes sebenar Altantuya


Bekas anggota polis yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Australia hari ini berkata, dia sedia membantu kerajaan Pakatan Harapan untuk mendedahkan apa sebenarnya berlaku berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu 12 tahun lalu.

Kata Sirul Azhar Umar pendedahan itu boleh dilakukan dengan syarat dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baru Malaysia. Tanpa pengampunan itu, kata Sirul, 45, dia tidak boleh dilepaskan dan pulang ke Malaysia.

"Saya berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan baru, syaratnya saya dapat pengampunan penuh," katanya kepada Malaysiakini dari pusat tahanan berkenaan di Sydney.

Menurut Sirul kini semakin ramai orang di Australia percaya dia adalah tahanan politik dan bukan penjenayah biasa ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Kata Sirul dia sangat sedih apabila dia dan keluarganya menjadi mangsa kecaman orang lain ekoran kes yang dikaitkan dengannya itu.

"Sedangkan mereka tak tahu. Itu kesalahan pertama saya. Bersama UTK (Unit Tindakan Khas) saya berkhidmat untuk menangkap dan bunuh pencuri dan pelbagai jenayah, semuanya untuk keselamatan negara.

"Mereka (orang awam) tak tahu bagaimana UTK berfungsi kerana kami kena ikut perintah," katanya.

Sirul juga menegaskan impiannya menyampaikan ucapan tahniah kepada dua pemimpin utama Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memenangi PRU ke-14 lalu.

Mengaku pernah menjadi anggota keselamatan yang mengiringi Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, Sirul juga berharap dia dapat menyampaikan ucapan terima kasih kepada ketua umum PKR berkenaan kerana meminta kesnya dibicarakan semula.

"Kalau boleh, saya sanggup (dibicarakan semula) kerana saya berpendapat perbicaraan lepas tak adil bagi saya, kerana saya menurut arahan daripada peguam dan ini yang saya dapat sedangkan saksi utama tak dipanggil," katanya.

Semasa perbicaraan kes Altantuya itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican.

Kata Sirul, ekoran sabitan Mahkamah Persekutuan itu dia mengarahkan kedua-dua peguam belanya untuk memfailkan semakan semula. Bagaimanapun kata Sirul peguam terbabit tidak melakukannya dan ia sudah tiga tahun berlalu.

Sebelum ini dilaporkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan kerajaan HARAPAN tidak hanya memberi tumpuan kepada skandal 1MDB, sebaliknya turut melihat kes kapal selam Scorpene yang dikendalikan di bawah Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi menteri pertahanan.

Najib kemudian dilantik menjadi perdana menteri keenam Malaysia sebelum HARAPAN mengalahkan BN semasa PRU minggu lalu.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh juga menggesa kerajaan menyiasat motif di sebalik pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Sumber: MalaysiaKini

No comments