(Video) 'Letihlah ibu, nak balik rumah' - Anak enggan pergi sekolah dibawa ibunya kutip botol untuk ajar erti hidup susah


Selepas anak lelakinya yang berusia lima tahun enggan pergi ke sekolah, si ibu dari Bangkok, Thailand ini mengambil keputusan untuk memberi pengajaran yang berguna kepada anaknya itu. 

Nuttanitcha Chotsirimeteekul dan suaminya mengambil cuti sehari untuk membawa anak mereka jalanan dan disuruh mengutip botol kaca dan plastik dari tong sampah yang disediakan di sepanjang jalan sebelum menjualnya semula. 

Chotsirimeteekul yang berkongsikan perkara itu di Facebooknya pada 18 Januari lalu berkata, mereka berjalan lebih kurang 2.2 kilometer dan berjaya mengutip lebih kurang 2 kilogram botol terpakai dan mendapat hasil jualan sebanyak 24 sen sahaja. 

Selepas mereka selesai, si anak bertanya kepada ibunya, "Boleh kita naik bas?" 

"Awak ada duit tak? Nak naik bas, tambang RM1.24," balas ibunya. 

"Tiada," katanya. 

"Kalau begitu, kita perlu mencari lebih banyak botol untuk mendapatkan duit," kata Chotsirimeteekul.

"Tak apa, saya boleh berjalan," kata anaknya. 

Tidak beberapa lama kemudian, si anak ada permintaan lain, "Saya nak aiskrim." 

"Aiskrim 62 sen, duit kita cukup tak?" soal Chotsirimeteekul. 

"Tak, tak apalah, saya tak nak aiskrim lagi." jawab anaknya. 


Berdasarkan video yang dikongsikan, kanak-kanak itu memberitahu ibunya, "Saya letihlah ibu, cuaca panas sangat. Saya nak balik ke rumah." 

Gambar-gambar yang dikongsikan menunjukkan kanak-kanak itu kelihatan letih, tidak berdaya dan rambutnya dibasahi peluh dengan mukanya comot. 

Menurut Chotsirimeteekul, pengajaran yang diberikan itu adalah baik untuk mereka anak beranak di mana dia sebagai ibu perlu menjadikan dirinya contoh yang baik untuk anak, juga agar anaknya mengenal erti bekerja keras. 










Perkongsian Chotsirimeteekul itu viral meluas di media sosial sehingga menerima lebih 73,000 likes dan lebih 60,297 shares. 

Rata-rata netizen memuji cara pasangan itu memberikan pengajaran yang berguna kepada anak mereka. 

Pada penghujung video, Chotsirimeteekul bertanya kepada anaknya, "Jadi, selepas ini awak nak pergi kerja atau nak pergi sekolah?" 

"Saya nak pergi ke sekolah!" katanya.



No comments