'Tak perlu pertikaikan harta kekayaan dimiliki Najib, dia anak bangsawan' - Penyokong
Seorang penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Raza mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu sebagai insan terpilih bagi menghadapi ujian getir yang sedang dihadapinya itu. Malahan, wanita berkenaan juga turut memberikan rasional di sebalik pemilikan pelbagai harta mewah yang dirampas oleh pihak berkuasa baru-baru.
Ketua Gabungan NGO-NGO Selangor, Nazilah Idris berkata, biarpun kediaman bekas Presiden UMNO itu digeledah sehingga mengambil masa yang lama, namun Najib tetap kelihatan tenang.
"Dia (Najib) orang terpilih untuk terima dugaan," katanya kepada media selepas menziarahi Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Nazilah, harta kekayaan Najib dan keluarganya tidak perlu dipertikaikan kerana Najib merupakan keturunan bangsawan dan pernah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan pusat.
"Datuk Seri Najib anak perdana menteri (suatu ketika dulu) dan dia keturunan bangsawan. Dia berada dalam keadaan orang kaya sejak kecil. Dia juga jadi Menteri Besar Pahang selama 30 tahun," katanya yang juga menyatakan bahawa dia sendiri boleh mengumpul harta seperti itu jika ada jalan yang terbuka seperti keuntungan daripada perniagaan.
"Apa yang nak dipertikaikan tentang beg atau barang kemas yang diambil polis? Tak perlu dipertikaikan. Bukan dia sahaja, sesiapa saja boleh membeli dan memakai jenama macam itu. Saya rasa tak payah jadikan isu sebab tak ada kaitan dengan 1MDB," katanya.
Bagaimanapun kata Nazilah, harta kekayaan itu bukan saja ada di rumah Najib, malah dia yakin ada lebih banyak barang kemas serta wang jika rumah lain yang lebih besar diperiksa.
"Jadi, apa yang nak dipertikaikan? Apa yang kita perlu sekarang ialah mencari kebenaran tentang 1MDB," katanya,
Nazilah turut memaklumkan Najib dalam keadaan baik dan tenang sahaja.
Sumber: MalaysiaKini
Post a Comment