'Saya dikecam, dicaci, dinista hanya kerana saya seorang di ‘barisan hadapan’ TV3'
Apabila berkecimpung dengan dunia media massa, segala tutur bicara kita didengari dan diperhatikan oleh masyarakat apatah lagi kerjaya tersebut melibatkan bidang pengacaraan dan kewartawanan. Kita sebagai penonton melihat kerjaya ini seperti mudah sahaja tetapi pelbagai rintangan yang perlu ditempuhi oleh mereka.
Jika terdapat kesalahan, mereka dihentam oleh masyarakat tanpa mengetahui sebenarnya mereka hanya menjalankan tugas mereka dan mengamalkan konsep 'saya yang menurut perintah.’
Perkara ini dilalui dan dikongsi oleh pemberita TV3, saudara Izwan Azir yang terpaksa menelan segala tohmahan yang dilemparkan kepada beliau. Bukan itu sahaja, dia juga pernah dibaling botol air ketika melakukan lintas langsung BERSIH. Melalui status yang dimuat naik di dalam Facecook dia menyeru kepada semua agar tidak menilainya hanya melalui luaran sahaja.
TIDAK ramai yang tahu, apa yang saya perkatakan ketika melakukan lintas langsung BERSIH dari balkoni Persatuan Bola Keranjang Malaysia pada 2007. Yang ramai tahu hanya aksi saya di’boo’ dalam video yang diambil seorang peserta yang sedang berarak yang disebarkan di YouTube.
Ketika melakukan lintas langsung itu, saya mengatakan bahawa ‘peserta BERSIH sanggup untuk meredah hujan lebat dan menunjukkan semangat yang berani, tidak mempedulikan kawalan polis untuk berkumpul di Stadium Merdeka bagi menyatakan hasrat mereka’.
Sebelum itu, ketika mereka sedang menuju ke sana, dari balkoni itu saya melambai malah memberi tabik hormat kepada beberapa peserta dan mereka juga tersenyum kepada saya. Namun ketika dihalau polis, mereka berpatah balik dan melalui kawasan lintas langsung saya, membaling saya dengan botol air TANPA mengetahui apa yang sebenarnya sedang saya perkatakan ketika lintas langsung itu. Pengadilan dibuat kepada saya, hanya kerana saya memegang mic dengan logo TV3.
Itulah yang berlaku kini, di ambang Malaysia Baharu.
Saya dikecam, dicaci, dinista, hanya kerana saya seorang di ‘barisan hadapan’ TV3. Sedari dahulu lagi, sayalah yang menanggung kata-kata nista ini termasuk menghukum saya masuk neraka. Namun kerana menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, saya berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Rakan-rakan saya di TV3 tahu, Izwan Azir Saleh adalah seorang yang tidak gemar politik. Ketika bertugas di Parlimen, saya lebih suka tidur daripada sibuk mencari ahli yang berhormat. Namun ketika saya harus berlintas langsung, saya akan pastikan yang saya kelihatan tip-top, segak dan tahu apa yang berlaku.
Semua itu saya lakukan supaya apabila kerja saya selesai dengan baik, saya boleh pulang segera tanpa ditanya lagi oleh boss dan melanjutkan kehidupan harian saya, menikmati masa-masa bersama keluarga atau bersendirian tanpa diganggu urusan kerja.
Saya kini dihukum hanya kerana berkhidmat dengan sebuah saluran TV Pro-BN. Saya menjadi seperti Allahyarham Nordin Ahmad atau Sharif Doll yang diludah di Jalan Ampas, Singapura hanya kerana watak antagonis Datuk Laksamana Megat Seri Rama dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang atau Samseng Kampung Pinang Sebatang dalam filem Pendekar Bujang Lapok.
Dalam suasana Malaysia yang baharu, janganlah kalian menilai hanya dari kulit, tapi bacalah isi kandungannya. Fahami bahawa golongan barisan hadapan ini adalah mentimun. Digolek juga lenyek, menggolek juga lenyek. Saya hanya cuba melaksanakan tugas saya dengan baik.
Ramai yang tidak tahu, ketika Datuk Seri Shafie Apdal dipecat daripada pentadbiran terdahulu, sayalah bersama pasukannya, membersihkan pejabat Menteri sehingga larut malam, dan berpelukan dengan rakan-rakan saya yang terpaksa meninggalkan pejabat dengan segera.
Tetapi saya tidak perlu menceritakan semua ini, atas dasar persahabatan bersama mereka. Mereka kenal saya. Pemimpin kerajaan kini juga kenal saya, malah ada antara mereka yang sering berhubung dengan saya. Mereka tahu siapa yang saya maksudkan.
Malam ini, anda akan melihat wajah ‘ahli neraka’ ini lagi ke udara. Menyampaikan berita dan menyebut Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan pembangkang yang akan diketuai Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Biarkanlah saya melaksanakan tugas secara profesional seperti yang telah saya lakukan selama ini.
Walaupun pedas tuduhan yang anda lempar, tetapi akhirnya saya cuma manusia biasa. Penyampai Berita bukan pembuat dasar. Apabila diarah untuk bersiaran, saya akan lakukan yang terbaik dan apabila diarah berhenti daripada bersiaran, seperti ketika saya diminta meninggalkan pasukan Malaysia Hari Ini (MHI) Januari lalu, saya taat dan keluar dengan seikhlas hati. Itulah saya.
Saya sudah melihat sinar politik matang di kalangan pemimpin kita sekarang. Yang menang meneruskan tanggungjawab, yang kalah telah mengucapkan tahniah. Tetapi, kita di bawah ini juga perlu bersikap matang supaya Malaysia Baharu yang kita inginkan, akan benar-benar tercapai bukan sekadar dengan tulisan tapi dirasai dan meresap kedalam dalam hati sanubari setiap rakyat Malaysia.
Terima kasih anda yang faham dan mahu memahami tugas kami sebagai pemberita. Jika yang tidak mahu faham, cubalah sekali sekala memakai kasut kami. Anda akan mengerti.
Salam Hormat.
Sumber: Mohd Izwan Azir
Post a Comment