(Video) Tiba-tiba pintu terbuka dan budak tercampak keluar dari kereta


Seorang kanak-kanak yang tercampak dari kenderaan dalam insiden yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini malam tadi kemungkinan tidak memakai tali pinggang keledar, kata ketua polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Aidi mengulas mengenai video yang tular di Facebook mengenai seorang kanak-kanak yang nyaris maut setelah tercampak keluar dari kereta dinaikinya.

“Sekiranya tali pinggang keledar dipakai, kanak-kanak itu tidak akan tercampak keluar dari kereta walaupun pintu kereta terbuka (sama ada tidak ditutup rapat atau dibuka oleh kanak-kanak) semasa kenderaan bergerak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi 12 saat itu menjadi tular di Facebook setelah dikongsikan oleh seorang pengguna akaun dikenali sebagai Poh KF sejak malam tadi.

Aidi bagaimanapun berkata tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak setakat ini.

Sehingga kini, video itu telah dikongsikan di Facebook dan mendapat ribuan komen dari netizen yang mahu keluarga masing-masing lebih peka dengan pemakaian tali pinggang keledar untuk anak masing-masing. - Bernama

No comments