'Kesemua pegawai yang ditugaskan kepada saya ditarik balik oleh kerajaan baharu' - Najib


"Kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu," demikian tulis bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memuat naik gambar terakhirnya bersama beberapa pegawai yang berkhidmat dengannya di Instagramnya hari ini. 

Menurut bekas Presiden UMNO itu, hanya seorang pegawai ADC (Aide De Camp) yang ditinggalkan berkhidmat untuk beliau.

"Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

"Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp)," tulisnya. 

Najib yang juga mengatakan perpisahan itu membuatkan mereka menitiskan air mata dan menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh para pegawai terbabit serta tidak akan melupakan jasa mereka yang telah lama berkhidmat untuknya. 

"Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan. 

"Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri," tulis Najib.

Dalam kapsyen itu, Najib berharap para pegawai terbabit akan terus memberikan perkhidmatan kepada kerajaan baharu yang juga akan menjaga kebajikan mereka. 

"Sehingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya.





"Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan," tulisnya. 

No comments