'Mulai 1 Jun, kadar GST ditetapkan kepada 0%' - MOF
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan kementerian itu menetapkan bahawa bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport yang dikenakan GST pada kadar standard 6% akan dikenakan GST pada kadar sifar.
"Langkah pengenaan GST pada kadar sifar ini berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018 dan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.
"Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan dari GST.
"Sehubungan itu, semua peniaga yang berdaftar perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.
"Pada masa yang sama, peniaga yang berdaftar juga masih tertakluk kepada semua peraturan semasa yang ditetapkan antaranya berkenaan pengeluaran inbois cukai, penghantaran penyata cukai di dalam tempoh bercukai yang ditetapkan dan tuntutan kredit cukai input.
"Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan seperti mana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Menurutnya, beliau telah mengeluarkan arahan supaya kerajaan tidak lagi mengutip GST.
"Kita akan bayar balik kepada mereka yang membuat tuntutan. Kerajaan sebelum dah pungut lebih daripada yang dibayar dalam cukai GST," katanya.
Post a Comment