(Video) 'Ambo tak dibenarkan jadi imam dan bagi kuliah di Masjid Tok Guru' - Nik Omar


Nik Omar melahirkan rasa sedihnya apabila dia tidak lagi dibenarkan untuk menjalankan tugasnya di Masjid Tok Guru. Beliau sebelum ini telah melaksanakan tugasnya sebagai imam di masjid, menyampaikan kuliah dan mentahnik. 

Selepas pemergian ayahandanya, beliau telah diberikan tugas secara tidak rasmi menyampaikan kuliah Maghrib pada malam Rabu dan Khamis, serta kuliah Subuh pagi Jumaat. Di samping itu, beliau juga berperanan untuk membacakan wirid khusus Tok Guru yang ditulisnya pada setiap kali Subuh pagi Jumaat. 

Walaubagaimanapun, beliau tidak dapat lagi meneruskan tugasannya di masjid berkenaan apabila adik kandungnya, Nik Abduh terus menjadi Imam dan memberikan kuliah. 

Berdasarkan video yang tular di media sosial, Nik Omar berkata setelah selesai memberikan kuliah, Nik Abduh bersalam dengannya dan Nik Omar bertanyakan kepadanya tidak mengapakah bersalam dengannya, tidak najiskah dia?

“Subuh tadi, adik ambo, ustaz Nik Abduh, dia paka (terus) naik, dia jadi  imam dan terus bagi kuliah. Selepas itu dia salam. Jadi dia pun beritahu, keputusan keluarga, ambo tidak dibenarkan jadi  imam dan bagi kuliah di situ.”

Nik Abduh menjawab itu adalah keputusan keluarga dan Nik Omar tidak lagi dibenarkan untuk menjadi Imam dan memberikan kuliah lagi di masjid berkenaan.

Nik Omar juga memberitahu ini merupakan harga yang terpaksa ditanggungnya. Melalui video itu juga, dia memohon maaf kepada hadirin kerana  penat dan memerlukan rehat. Dia mengakhiri ucapannya dengan mengatakan dia akan pergi dan tak akan undur ke belakang.

“Maknanya ini harga yang terpaksa ambo tanggunglah. Jadi hari ini, ambo kena rehat, tapi Insya-Allah, bila ambo pegi, ambo tak undur ke belakanglah. Cuma untuk pagi ini, ambo kena mintak maaf banyak-banyak,”katanya.


Nik Omar merupakan anak kepada Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Beliau merupakan anak kedua dari sepuluh orang adik beradik. Nama Nik Omar menjadi sebutan semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini apabila dia bertanding bagi tiket Pakatan Harapan sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka. 

Situasi ini memberikan tamparan yang hebat buat parti Pas. Keputusannya bukan sahaja mengejutkan ramai pihak, malahan dia tidak mendapat kebenaran ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak. 

Semasa PRU  yang lalu, Nik Omar telah tewas kepada Pas dengan hanya memperoleh 2,418 undi.

No comments