'Barang kemas dan barangan peribadi lain yang dirampas adalah hadiah daripada kawan-kawan' - Najib
Datuk Seri Najib Razak semalam membuat laporan polis kerana merasakan nyawa beliau dan keluarganya terancam, selain turut memohon diletakkan di bawah program perlindungan saksi berhubung siasatan skandal 1MDB.
Najib membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam lima petang semalam mendakwa beliau yang memetik sumbernya berkata ancaman itu bukan sahaja datang dari dalam negeri, tetapi dari luar negara juga.
Berdasarkan laporan dari Malay Mail, Najib menceritakan serbuan polis terhadapnya sejak 10 Mei, sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di mana barangan milik beliau dan anak lelakinya yang tiada kena mengena dengan 1MDB dirampas.
Dalam laporan polis itu juga, Najib mendakwa barang kemas dan barangan peribadi lain yang dirampas oleh polis di Pavillion Tower itu sebenarnya adalah hadiah daripada kawan-kawannya. Malah katanya, wang tunai yang dirampas itu sebenarnya digunakan untuk kempen PRU14 Barisan Nasional (BN).
Najib turut menyatakan bahawa beliau hanya memainkan peranan sebagai penasihat dalam syarikat 1MDB dan tidak terlibat dalam proses membuat keputusan. Najib juga menegaskan bahawa RM2.6 bilion yang diterimanya itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Peguamnya, Harpal Singh Grewal memaklumkan kepada media Najib tidak berpuas hati dan mengecam tindakan pihak polis yang didakwa makan makanan dan coklat dari peti sejuk ketika serbuan dilakukan ke rumah anak-anaknya.
Post a Comment