Kisah Pusat Tahfiz Berbelas Tahun Dulu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Aku Hidayah binti Seman (bukan nama sebenar). Hihi.

Pertama sekali maaf kalau tajuk ni misleading sebab aku tak reti nak letak tajuk apa. Lebih kepada luahan kisah yang aku teringat masa zaman muda belia dulu.

Pada saat aku menulis ini, rakyat Malaysia sedang bersedih dengan kepergian adik Thaqif yang dipercayai dipukul oleh pembantu warden. Kes ini masih disiasat jadi aku tak berani nak olah apa-apa kerana kebenaran masih milik Allah. Tapi apa yang kita nampak, memang adik Thaqif diseksa dengan zalim dan pelakunya sah tiada perikemanusiaan! Percuma saja nyawa anak orang melayang. Huh.

Kes sebegini membuatkan ramai ibu bapa termasuk aku sendiri jadi ragu-ragu nak hantar anak kelak ke pusat tahfiz sebegini. Kasihan kan pada pusat tahfiz yang benar-benar ikhlas dan suci pelaksanaannya? Terpalit lumpur dan noda insan lain.
Kes yang berlaku ini menjentik ingatan aku akan sebuah kisah berbelas tahun lalu… Kisah tentang seorang ustaz yang sukar untuk aku dan keluarga aku lupakan.
2000…
Aku gelarkan dia sebagai Ustaz Sarip Dol. Orangnya berserban dan adakalanya bercelak. Dia datang ke kawasan perumahan kami (rumah semi D setingkat) untuk menyewa sebuah rumah yang akan dijadikan pusat qiraati. Sebelum itu dia mengajar di surau perumahan kami, juga di surau perumahan sekitar di daerah yang terletak di negeri Utara Semenanjung. Abah aku, jiran-jiran aku membawa anak-anak mereka untuk sama belajar di sana. Aku dan adik lelaki aku saja yang dihantar. Sebab kakak dan abang aku dah masuk asrama. Dan adik yang lain masih kecil.

Abah hantar kami ke sana mungkin atas dasar nak menyokong perjuangan Ustaz Sarip Dol yang katanya ingin mentarbiah anak-anak mengikut acuan Islam. Aku takkan lupa ayat ‘mentarbiah’ dia tu. Sebut tarbiah tu macam orang Arab sikit. Tar-beeyy-yahh. Terngiang-ngiang sampai sekarang.

Pada mulanya, Ustaz Sarip Dol sering berkata yang konsep ajarannya ialah tidak akan sesekali memukul pelajar. Malah, dia juga takkan sesekali menerima huluran salam pelajar perempuan. Dan jiwa ibu bapa yang mendengar pastilah terbeli dengan ucapan sebegitu. Kononnya! Padahal dari 2 konsep yang diperkatakan itulah yang sebenarnya cuba menutup realiti diri dia yang sebenar.
Okey, pusat qiraati ini dari 8, 10 orang, bertambahlah jadi berpuluh-puluh orang pelajar dia. Pusat qiraati ini beroperasi 2 sesi. Pagi dan petang. Walaupun abah aku boleh aje ajar kami anak-beranak mengaji, tapi disebabkan kami belajar banyak perkara termasuklah Akidah, Tauhid, Fekah, Tajwid dan ada juga skit-sikit tentang bahasa Arab, abah hantar kami ke sana dengan yuran bulanan RM30 seorang.

Ustaz Sarip Dol perlahan-lahan mula menunjukkan belang apabila semakin ramai pelajar di qiraati dan semakin ramai ibu bapa daripada golongan berkedudukan mula rapat dan menghantar anak ke pusat qiraati tersebut.
Kedudukan qiraati ni selang sebuah rumah saja dari rumah aku. Dan jiran sebelah rumah aku, Pak Cik M (sekarang dah arwah, al-fatihah) seorang yang sangat baik, dihantarnya makanan setiap petang, kuih-kuih atau minuman kepada Ustaz Sarip Dol. Ustaz Sarip Dol adakalanya akan membuat muka dan mengatakan dia tak suka kuih itu, tak suka kuih ini. Dan akhirnya aku dan kawan-kawan yang menghabiskannya.

Sikap Ustaz Sarip Dol sedikit demi sedikit membuatkan kami rasa serba tidak kena. Bayangkan datang ke rumah aku, dengan membuat muka, dia kata tak minum teh atau kopi. Dia hanya minum Milo. Berlarilah mencicit si adik aku membeli Milo di kedai sebab rumah kami tak ada Milo. Adui la.
Okey, semua di atas hanya warm up sahaja ya. Intro katanya, Hehe. Maaflah kalau bosan.
Ustaz Sarip Dol sangat pantang dengan orang yang bayar yuran lambat. Masih aku ingat peristiwa 2 adik beradik yang diherdik kerana lambat bayar yuran.

Waktu tu, mereka tengah tunggu giliran nak mengaji. Kami akan beratur secara bersila ikut barisan lelaki dan perempuan. Ustaz hempuk muqaddam kat kepala si adik. Si adik tu perempuan. Si abang pun terdiam ja. Sayu aku tengok. Ya, aku mengaku budak-budak tu tak comel (aku panggil budak-budak sebab waktu tu aku antara yang paling tua). Biasa-biasa saja. Kulit gelap, badan kecil-kecil saja. Jubah pun comot-comot. Dan aku dapat tau ayah mereka pun mekanik biasa saja, memang orang susah.
Dan seorang lagi budak perempuan yang memang tak comel (mungkin pada pandangan dia. Semua manusia indah,okey?), tak pandai baca muqaddam, mungkin jenis yang slow atau lambat faham. Tau apa dia buat? Dia tarik tudung budak tu dan tolak kepada ke belakang. Dijerkahnya kuat sampai terdiam aku dengan kawan-kawan yang asalnya rancak berborak.

Okey, tu cerita budak tak comel. Cerita budak comel? Euw. Geli aku. Siap meriba lagi okey. Mengaji atas riba, cium pipi. Usap-usap kepala. Panggil sayang. Sikit-sikit usik manja. Intan payung semua ada. Mujur aku dan jiran-jiran aku terkecuali. Kami tak terkena la cium-cium pipi mengaji atas riba bagai ni. Mungkin dia takut nak buat sebab nak jaga nama baik dengan jiran-jiran kat situ. Dia kata takkan salam dengan perempuan kan? Heh. Memang la tak salam. Dah kalau habit si Ustaz Sarip Dol ni tampar punggung pelajar perempuan, salam tu apa la sangat kan. Kami pelajar perempuan memang standby pegang tangan je kat punggung sebab nak elak kena tampar. Serius la aku dan kawan-kawan takkan maafkan kau!
Walaupun dia perangai macam tu, aku sendiri tak faham kenapa kami masih stay dekat sana untuk beberapa tahun. Walau apa dia buat, kami masih ‘setia’. Entah.

Dan dia selalu berbangga dengan teknik mengajarnya yang dikatakan istimewa dan rahsia. Rahsia? Dia ajar ejaan dalam muqaddam. Bila dah habis belajar ejaan tu, terus boleh baca al Quran. Ayat-ayat lazim dalam muqaddam tu seiring dibaca dengan Al-Quran. Dia selalu bangga anak didiknya dapat ‘naik’ Al Quran cepat dalam masa beberapa minggu saja. Dan itu yang dicanang rata oleh dia di mana-mana kuliah di surau atau masjid.

Dan ilmu fekah diajarnya kami menggunakan kitab yang aku sendiri dah lupa namanya. Tapi yang asyik diulang ilmu tentang persetubuhan, darah haid dan perkahwinan. Bayangkan pada waktu itu kami masih peringkat 9-12 tahun? Tak aneh ke?
Dengan kejayaan qiraati, dia mula mengorak langkah membuka pusat tahfiz. Pusat tahfiz ni beroperasi dari rumah semi d tu jugak. Aku tak ingat berapa orang tapi rasanya tak sampai 10 orang pun.

Makan, tidur semua di situ. Aku tak faham apa yang disediakan oleh pusat tahfiz tu sebab semua pelajar di situ berhenti sekolah untuk belajar di situ. Diulang, berhenti sekolah. Tenaga pengajar hanya dia seorang. Ada tenaga pengajar yang lain, ustazah-ustazah tapi hanya pada waktu pusat qiraati berjalan. Bukan sepanjang masa. Dan Ustaz Sarip Dol ni dengan bangganya kata dia boleh ajar semua mata pelajaran termasuk BI. Oh lupa nak cakap, dulu dia kerja dengan bank. Sebab nak lari dari riba, dia berhenti. Tu kata dialah. Kebenarannya aku tak pasti.

Dia ada cakap, kalau terlalu pentingkan akademik, siapa yang nak jaga Islam, sedangkan pendidikan Islamlah yang paling penting. Lebih kurang macam tu ayatnya.
Pusat tahfiz tu kesian sangat-sangat. Situlah pusat tahfiz merangkap asrama, situlah pusat qiraati siangnya. Rumah 3 bilik jadi asrama dan pusat pengajian, what do you expect? Adik aku rapat dengan diaorang, jadi dia tahu la serba sedikit. Si Ustaz Sarip Dol ni tinggal macam tu saja malam-malam budak-budak tahfiz ni sendiri. Makan ke tidak, aspek keselamatan semua tak dijaga langsung. Nak makan, pandai-pandailah cari ya nak. Huhu. Ustaz Sarip Dol selamba je balik tidur rumah dia yang makan masa 20-25 minit dari pusat qiraati/tahfiz tu. Jiran-jiran saja la yang jenguk-jenguk.

Betapa tak dijaganya budak-budak tu sampaikan ada malam-malam ada yang pergi main permainan video game. Dan si Ustaz Sarip Dol tak tahu langsung. Yalah, mana nak tahu dah kalau sedap-sedap balik tidur rumah, yang budak-budak ni dengan tilam pun kongsi, bersempit-sempit. Dia ingat budak-budak ni Bangla gamaknya?
Dan aku masih teringat kisah seorang budak tahfiz nama dia Pali. Pali ni anak yatim dan asal dari negeri jiran. Ibu dia amanahkan bapa saudara untuk jaga dia. Orang susah dia ni.

Dan bapa saudara dia hantar Pali ke pusat tahfiz si Ustaz Sarip Dol ni. Pali ni kategori budak nakal jugak tapi bukan jenis yang menyusahkan orang tu. Alah, budak tengah membesar kan. Aku masih ingat macam mana Pali kena rotan macam orang gila oleh si Ustaz Sarip Dol depan semua pelajar. Jerkah tempik-tempik sampai Pali merayu-rayu mintak dia stop. Rotan yang lagi tebal dari ibu jari tu pun patah. Alasannya sebab Pali ni gagal hafal al-Quran 1 halaman. Dia ingat tahfiz ni sekadar suruh budak hafal al-Quran kot? Mana pendekatan tarbiah? Tak ada langsung. Setakat suruh budak hafal, dia pantau melalui al-Quran ehhh, aku pun boleh. Dan untuk pengetahuan, si Ustaz Sarip Dol ni pun bukan hafiz. Boleh eh kalau seseorang bukan hafiz jadi pengajar untuk bakal hafiz? Pening aku. Kalau boleh, errr. Kenapa tak dia ajar diri sendiri dulu untuk jadi hafiz?

Layanan terhadap Pali makin teruk dan akhirnya dia dibuang dari tahfiz tu. Salah satu sebabnya of course la sebab yuran. Adik aku ada tanya dia, apa dia nak buat lepas keluar dari situ, dia cakap nak jadi nelayan. T_T Kalau la Pali tu baca, satu saja nak cakap. Akak ni menangis waktu hang kena pukul, tapi kenapa budak-budak lain gelakkan akak? Aduiii. Aku harap Pali berjaya sekarang dan jadi ‘orang’.

Dalam tahun 2003 aku dan adik aku dengan rasminya berhenti. Aku tahu dia bengang sebab kami antara orang setia di sana. Dan pusat qiraati tu pun dah berpindah ke bangunan baru yang tak jauh dari rumah aku. Rumah kedai. Dan selepas tu abah aku sering jadi bahan sindiran dia dalam kuliah di surau. Naik tembok rumah pun, dikata menunjuk kekayaan, dan macam-macam lagi sampai abah aku pun dah stop ke kuliah dia.

Lama jugak pusat qiraati tu berlangsung. Dan budak-budak tahfiz tu semua dah stop dan sambung kembali pembelajaran sekolah. Ada yang sambung ke pusat tahfiz yang bertauliah.
Dan dalam tahun 2009 tak silap aku, gempar si Ustaz Sarip Dol didakwa atas tuduhan cabul. Cabul budak perempuan, bukan lelaki. Dan pusat qiraati tu pun ditutup. Aku tak tahu sangat pasal kes ni sebab aku dah tak ambil peduli. Baik akutak ulas benda di luar pengetahuan aku. Cuma bagi aku yang memang kenal dia, aku yakin semua tu tak mustahil.

Tapi apa yang aku dengar, sekarang dia masih bebas dan buka pusat tahfiz di negeri lain. Dia bebas menurut sumber, sebab ada orang berkedudukan yang ‘jaga’ dia. Wallahualam. Kalau tu fitnah, semoga dia dilindungi. Kalau itu kebenaran, semoga dia bertaubat dan tak buat kekacauan lagi.

Kepada ibu bapa di luar sana, pilih lah betul-betul pusat pengajian untuk anak tak kiralah bidang apapun. Belajarlah mendengar apa yang mereka suarakan. Even mereka nak menipu sekalipun (kan budak2 sekarang ni ‘cerdik’), dengar. Take action. Siasat betul-betul. Doa banyak-banyak. Sebab tak semua berhati tulus pada zaman dajjal dah get ready nak keluar ni. Akhir zaman.
Masih ada pusat tahfiz yang terbaik, yang modulnya mantap, tenaga pengajarnya jujur, berhemah. Sedihnya kes-kes yang viral sekarang membuatkan mereka dipandang sinis. Mungkin itu juga ujian Allah buat mereka.

Maafkan aku andai yang tak suka dengan confession ini. Mungkin ada yang rasa apa yang Ustaz Sarip Dol ni buat bukanlah teruk sangat. Aku saja yang lebih-lebih. Tapi kami yang alami saja merasainya. Dan ada yang tak diceritakan untuk elak lewah sangat pulak. Janganlah hentam aku ya. Hahaha. Niat aku hanya mahu berkongsi cerita agar kita semua berhati-hati sebelum yang buruk terjadi. Semoga kita dilindungi Allah.

– Hidayah Binti Seman

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

No comments