Kau Yang Alim
Salam. Maaf kalau confession ni buat sesiapa terasa. Aku just nak memerihalkan apa yang dah aku pendam selama 5 tahun ni sebagai ‘orang luar’.
Ya, panggil saja aku Kak Kay. Usia 30-an. Dah berkahwin. Alhamdulillah bahagia. Cuma kebahagiaan kadang terganggu gugat dengan apa yang selalu terjadi depan mata aku. Otak aku kadang jadi tak waras memikirkan apa yang terjadi dalam keluarga mertua. Aku bukan menantu ayu juga bukan menantu hantu. Aku juga bukan plastik.
Adik-adik terutamanya perempuan,
1. Kau menjaga tutur katamu dengan orang-orang di luar. Mulutmu tak lekang mentarbiah dan menyebut Allah. Tapi sayang, kau memaki hamun ibu bapamu di rumah. Hanya kerana ibumu terlupa di mana letak jubahmu. Atau pakaian dalammu (serius??) Atau hanya kerana ayahmu terlambat menjemputmu pulang dari tempat kerja.
2. Kau mengingatkan aku, iparmu tentang aurat. Ya, aku tidak lengkap berpakaian menutup wajah sepertimu. Tapi kau sewenangnya berkemban di depan adik beradik lelakimu. Tidakkah kau tahu erti malu?
3. Kau berkata tentang keberkatan rezeki. Kau jeling sinis jika ada yang tak baca doa sepanjang kau sebelum makan. Tapi kau campak makanan bila ibumu masak tak ikut seleramu. Kau buang makanan bila ayahmu tak beli makanan kegemaranmu di pasar.
4. Kau kata tentang rumahtangga ipar-iparmu. Kau ingatkan tanggungjawab isteri pada suami. Kau ingatkan pula tanggungjawab anak lelaki pada ibu bapa. Tapi adakah tanggungjawabmu sebagai anak perempuan mengkulikan ibu bapamu? Yang wajib menyediakan segala-galanya sebelum kau pergi dan balik kerja. Jika tak, makian yang diterima.
5. Kau keluhkan penatmu. Sedangkan kau tak pernah ambil peduli perihal ibu bapamu. Sakit pening mereka. Kau dah dewasa, usia mereka makin meniti senja.
Bukan aku tak pernah menegur. Tapi macam kau kata, aku cuma ‘orang luar’.
Ya, aku bukan sesiapa. Tapi ingatlah, redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Kau boleh tunjukkan yang baik-baik di depan manusia, tapi kau tak boleh tipu Allah.
Ikhlaslah pada diri sendiri.
– Orang Luar
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
Post a Comment