Pemandu van cuai, punca kemalangan korbankan pasangan suami isteri
Dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian petang semalam, mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Kajang.
Remyzan Baharuddin, 42, dan isterinya, Suzyla Ahmad Dahlan, 40, disahkan maut di lokasi selepas Perodua Bezza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van yang terbabas dari laluan bertentangan.
Dua anaknya, Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Rai'f Adam Lutfan Remyzan, 7, mengalami kecederaan di bahagian kepala, impak dari kemalangan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, keputusan ujian saringan air kencing pemandu van tersebut adalah negatif.
Siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku berpunca dari kecuaian pemandu van berusia 28 tahun itu yang hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan bertembung dengan kereta empat sekeluarga itu.
Saksi kejadian, Nik Nuriman Nik Pa, 35, juga mendakwa van putih terbabit yang datang dari arah Semenyih ke Kuala Lumpur masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan dengan kereta sedan itu yang menyebabkan bunyi dentuman kuat.
"Saya terus berlari pergi ke kereta Perodua Bezza dan nampak ada empat orang dalam kereta itu. Saya terus menarik cermin kereta yang retak untuk buka kunci. Saya nampak ada seorang kanak-kanak lelaki menangis di belakang.
"Saya bersama beberapa orang awam lain bawa keluar kanak-kanak lelaki itu sebab kami melihat dia menangis. Namun kami tidak berani mengeluarkan mangsa lain kerana keadaan mereka parah," katanya.
Difahamkan, pemandu van berkenaan akan direman hari ini selepas polis mendapatkan perintah reman terhadapnya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment