(Video) 'Ada tembok menembok mattt! Siyes aa?!' - Pemandu Honda lari dikejar polis sampai terbabas di Felda New Zealand
Percubaan seorang lelaki yang memandu kereta Honda Odyssey untuk melepaskan diri dari ditahan dan diperiksa polis, menemui kegagalan apabila dia terbabas di Felda New Zealand.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, suspek berusia 25 tahun itu dikejar anggotanya selepas dia bertindak di luar kawalan dan melarikan diri dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.20 petang, Khamis, 11 Mac 2021.
Difahamkan, suspek sebelum itu sedang memandu di Jalan Tanah Putih berhampiran pasar raya Giant, Kuantan. Anggota Polis Trafik IPD Kuantan ternampak suspek sedang menggunakan telefon bimbit dan plat kenderaan kabur serta fancy lalu cuba menahan dan mengarahkannya untuk memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.
Malangnya suspek bertindak memecutkan kenderaannya ke arah Jalan Kuantan-Maran. Tindak suspek menyebabkan anggota terbabit menghubungi DCC Kuantan untuk meminta bantuan Kereta Peronda (MPV) bagi mengejar kereta suspek. DCC Kuantan turut mendapatkan bantuan dari DCC Maran.
Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Tol Maran, MPV IPD Maran telah membuat sekatan dan halangan. Suspek bertindak membuat pusingan U meluru ke arah anggota polis trafik tadi secara merbahaya.
Anggota berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan kereta suspek. Tetapi suspek berjaya meloloskan diri dan melanggar sebuah kereta yang berada berhampiran serta terus melarikan diri ke arah Sri Jaya sebelum terbabas di kawasan Ladang Kelapa Sawit Felda New Zealand.
Suspek telah ditahan dan pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui satu paket plastik lutsinar yang dipercayai dadah jenis syabu. Selain itu, kenderaan tersebut tidak berdaftar dan mempamerkan LKM serta nombor pendaftaran palsu.
Ujian saringan air kencing pada suspek juga menunjukkan dia positif dadah jenis methaphetamine. Semakan rekod mendapati, suspek memiliki rekod lampau berkaitan dengan jenayah dan dadah.
Suspek telah direman sehingga 15 Mac 2021 untuk siasatan lanjut.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS
Post a Comment