'Ingat tak sakit kena cucuk (swab test) banyak kali?' - Zed Zaidi cadang golongan artis diberi suntikan vaksin awal tetapi dihambur netizen


Semenjak Pandemik Covid-19, tidak dinafikan golongan artis turut menerima kesannya sehingga ada yang terpaksa memohon bantuan kerajaan bagi meringankan bebanan mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kerja-kerja di sebalik tabir juga terhenti seketika. 


Mujurlah keadaan itu tidaklah berlarutan lama apabila kerajaan membenarkan sektor industri hiburan beroperasi semula dengan mengenakan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan wajib dipatuhi tanpa gagal. 


Namun, kekerapan menjalani ujian calitan sebelum menjalani penggambaran membuatkan golongan ini tidak selesa, lalu membuat aduan kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN). 


Presiden Seniman, Zed Zaidi, 41, mencadangkan agar kerajaan memberi suntikan vaksin kepada golongan artis dan sekali gus mempergunakan pengaruh besar mereka untuk menyebarkan pengetahuan mengenai kebaikan vaksin Covid-19.


"Seniman banyak dapat aduan daripada artis lebih-lebih daripada pelakon yang mana mereka perlu melakukan banyak kali swab test. Bila ada banyak job, kena buat swab test banyak kali. 


"Kami berharap kerajaan dapat mengurangkan SOP bagi meringankan bebab mereka untuk berkarya. Ada yang sama kata dah fed up nak buat swab test banyak kali, dahlah sekarang susah untuk mereka dapat job. 


"Kalau dah dapat vaksin, tak perlulah mereka banyak kali buat swab test setiap kali dapat offer kerja. Dari situ dah dapat jimat kos... ingat tak sakit hidung kena cucuk banyak kali? 


"Kalau kita perhatikan, banyak negara luar memanfaatkan dan menggunakan pengaruh golongan selebriti untuk membantu dalam memberitahu kebaikan pengambilan vaksin kepada rakyat mereka. 


"Kerajaan juga perlu melakukan perkara yang sama di sini. Seniman bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi menjadi frontliner untuk membantu daripada sudut kempen vaksinasi Covid-19 melalui media sosial para selebriti tersebut. 


"Kalau kerajaan tak menggunakan pengaruh yang ada pada artis, rugilah. Kita ambil contoh paling dekat seperti di Indonesia, mereka melantik selebriti sebagai ikon dan individu yang terawal untuk mengambil suntikan vaksin. 


"Ini dilakukan bagi menyakinkan rakyat bahawa vaksin itu selamat selain dapat menolak gerakan anti vaksin yang turut dilaungkan beberapa selebriti sebelum ini," katanya. 


Zed berharap, kerajaan mempertimbangkan cadangannya itu. Selain itu, dia juga berharap SOP juga dilonggarkan bagi meringankan bebanan golongan artis untuk terus berkarya. 


Bagaimanapun, cadangan Zed Zaidi itu dibidas teruk oleh netizen yang menganggap cadangannya itu sebagai percubaan untuk memotong barisan. Netizen berkata, golongan artis juga merupakan rakyat di mana mereka juga perlu beratur seperti rakyat biasa bagi mendapatkan vaksin berkenaan.



Sumber: mStar Online

No comments