'Ini semua konspirasi, Malaysia akan terima akibat' - Kata Konsulat Korea Utara yang dihalau dari Malaysia


Kakitangan Kedutaan Korea Utara dilaporkan telah mengosongkan bangunan kedutaan pada jam 10.55 pagi Ahad setelah kerajaan mengambil tindakan mengarahkan mereka semua diusir ke negara asal susulan tindakan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia. 


Kesemua kakitangan kedutaan dan juga ahli keluarga mereka keluar dari perkarangan bangunan kedutaan dengan menaiki bas, manakala Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song pula menaiki sebuah kenderaan berwarna putih. 


Sebelum meninggalkan bangunan kedutaan, Yu Song berkata kepada media bahawa Malaysia akan menerima akibat daripada tindakannya itu dan mendakwa apa yang berlaku adalah konspirasi. 


"Kejadian ini adalah hasil nyata dari konspirasi anti Korea Utara yang dibuat daripada dasar keji oleh Amerika Syarikat," katanya. 


33 wakil, kakitangan dan keluarga Kedutaan Korea Utara dijadualkan pulang ke negara asal pada jam 4 petang ini dengan menaiki penerbangan Shanghai Airlines FM0086 dan transit di Pudong, China sebelum ke Pyongyang. 


Beberapa hari lalu, Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia sebagai tindak balas terhadap Kerajaan Malaysia yang mengekstradisikan seorang rakyatnya ke Amerika Syarikat awal Mac lalu.


Mun Chol Myong yang tinggal di Malaysia lebih sedekad bersama ahli keluarganya ditahan pihak berkuasa pada 14 Mei 2019 selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Esktradisi 1992, susulan dakwaan konspirasi penggubahan wang haram serta melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 


Tetapi bagi Korea Utara, Malaysia telah melakukan 'jenayah yang tidak boleh dimaafkan' kerana menghantar Chol Myong yang dianggapnya tidak bersalah, ke Amerika Syarikat.


Kementerian Luar Korea Utara berkata, tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan Malaysia bermusuhan dengan Pyongyang. Korea Utara juga memaksa Kerajaan Malaysia menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak 2017. 


Sebagai tindak balas, Kerajaan Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga mereka keluar daripada Malaysia dalam tempoh 48 jam. 


Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindakan balas terhadap keputusan Korea Utara itu. Malah Malaysia kecewa dengan keputusan negara komunis itu di mana tindakannya tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa. 


Malaysia sebagai negara yang mendaulatkan undang-undang dan keadilan, memastikan proses ekstradisi Mun Chol Myong dibuat mengikut prinsip undang-undang. Malah sebelum ini juga bertindak mengetepikan beberapa tuntutan Korea Utara yang meminta kerajaan Malaysia campur tangan dalam urusan sistem kehakiman dan perundangan negara.


Sumber: Sinar Harian

No comments