'Patutlah isteri lari' - Suami bakar kereta saudara, bengang isteri tak pulang rumah sejak 1 Mac


Berang isteri tak pulang ke rumah sejak awal bulan Mac, si suami yang gagal mengawal emosi dan kemarahannya bertindak membakar kereta milik saudaranya. 


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian yang berlaku pada pagi semalam di Taman Bukit Indah itu disedari oleh mangsa berusia 22 tahun selepas terdengar bunyi penggera keretanya. 


Mangsa terus berbgegas keluar dan mendapati kereta miliknya terbakar di bahagian tayar kiri. Dia cuba memadam api itu tetapi tidak berjaya dan api menjadi semakin merebak. 


Mangsa kemudian segera menghubungi bomba yang datang tidak beberapa lama setelah menerima panggilan kecemasan itu. 


Bomba berjaya memadam api kebakaran tersebut, malangnya kereta mangsa tidak dapat diselamatkan. Hampir keseluruhan keretanya musnah akibat terbakar angkara perbuatan suspek berusia 47 tahun itu.


Ekoran dari kes itu, polis telah menahan suspek yang berada di kawasan kejadian. Ketika disoal siasat, suspek mengaku membakar kereta tersebut kerana bengang dengan isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak 1 Mac lalu hanya kerana perselisihan faham. 


Ketika kebakaran itu berlaku, isteri suspek berada dalam rumah saudaranya itu. 


Semakan rekod mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau bersabit kes Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Keputusan ujian saringan air kencing suspek juga negatif. 


Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

No comments