'Uinahh! Sampai patah 7 batang gigi' - Lelaki dibelasah sebab tegur pemandu sebelah tak beri isyarat ketika masuk ke lorong laju


Gara-gara menegur pemandu lain yang tidak memberikan isyarat ketika masuk ke lorong laju, seorang lelaki berusia 21 tahun dibelasah sehingga mengalami kecederaan teruk. 


Ketua polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin, 29 Mac 2021 jam 10 malam  di Jalan Kolam, Kota Kinabalu, mangsa yang memandu Honda S660 sebelum itu berselisih dengan Perodua Alza. 


Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, mangsa telah menegur pemandu Alza yang dikatanya tidak memberikan isyarat ketika masuk ke lorong laju.


Berang dengan teguran itu, pemandu Alza bertindak memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan batang besi. 


Suspek juga memukul mangsa di bahagian kepala dan tangan menggunakan objek yang sama sebelum masuk semula ke keretanya dan beredar dari tempat kejadian. 


Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu terus datang membawa mangsa keluar dari kereta dan menghubungi keluarganya serta dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. 


Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tangan, selain tujuh batang giginya patah. 


Polis telah mengenalpasti identiti suspek dan satu gerakan memburu suspek telah dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 


Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman denda atau sebat, atau hukuman penjara maksimum 20 tahun. 


Sumber: Harian Metro

No comments