Tertuduh bunuh & sumbat isteri dalam tong air, rayu dikenakan hukuman ringan sebab perlu tanggung 4 anak & bayar loan bank


Lelaki yang didakwa membunuh dan menyumbat mayat isterinya di dalam tong air biru pada 1 Mac 2021, didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Selasa, 16 Mac 2021. 


Tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim, 43, didakwa dengan lima pertuduhan membunuh isterinya dan memiliki senjata api tanpa kebenaran.


Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan sebarang pengakuan dari tertuduh yang hanya sekadar menyatakan faham dengan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rashidah Baharom. 


Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hanafi dituduh telah membunuh isterinya, Noor Hasliza Alias, 38, di sebuah rumah di Taman Sri Saujana pada jam 3.30 pagi, 1 Mac 2021. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan bleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mandatori. 


Mahkamah kemudian menetapkan 14 April 2021 bagi sebutan semula kes untuk penyerahan laporan kimia, forensik dan bedah siasat. 


Sementara itu di Mahkamah Sesyen pula, Hakim Zahillah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Mohd Hanafi yang mengaku bersalah di atas empat pertuduhan iaitu memiliki dua laras senapang dan 64 peluru tanpa kebenaran. 


Dalam pertuduhan pertama dna kedua, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang tiada jenama dan model, dan 14 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen yang sah. 


Pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang jenis canon Super Model 737 Cal. 177 dan 50 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen yang sah. 


Dua senjata itu ditemui tempat yang berbeza di Kota Tinggi antara jam 1.30 pagi hingga jam 9 malam, 1 Mac 2021. 


Mohd Hanafi dituduh melakukan kesalahan itu dua rumah iaitu di Ladang Pasir Panjang dan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, pada jam 11.30 pagi hingga 9 malam. 


Dia dituduh di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (206), jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 


Pendakwaan untuk kedua-dua prosiding berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali. Manakala, tertuduh tidak diwakili peguam. 


Sebelum itu, Mohd Hanafi dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadapnya dengan alasan dia perlu menanggung empat anak selain perlu membayar pinjaman bank. 


Selepas berpuas hati mendengar hujahan pendakwaan, Zahillah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima, empat, enam dan lima tahun bagi empat pertuduhan itu yang akan berjalan secara serentak dari tarikh tangkapan.


Sumber: Harian Metro

No comments