'Pakai mask kat dagu memang kena la kompaun RM10,000, PKP dah setahun kot?'


Viral di media sosial gambar notis kompaun RM10,000 dikenakan terhadap seorang individu kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna pada Jumaat, 12 Mac 2021. 


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat mengesahkan kejadian itu di sebuah kedai runcit di Tanjung Piandang pada jam 1.20 tengah hari. 


Mazuki berkata, anggotanya telah menahan dan mengeluarkan notis kompaun terhadap lelaki berusia 45 tahun itu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Seksyen 21A (1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.


Difahamkan, lelaki berkenaan dikatakan agagal memakai pelitup muka dengan sempurna iaitu meletakkan pelitup muka di bahagian dagunya ketika masuk dan keluar dari kedai runcit itu. 


Lelaki itu diberi tempoh sehingga 1 April 2021 untuk menjelaskan kompaun tersebut atau boleh membuat rayuan dengan Pegawai Kesihatan Daerah untuk meminta pengurangan kadar kompaun. 


Mazuki menasihatkan orang awam terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 



Sementara itu di media sosial, netizen berpendapat tindakan itu terlalu keras di mana pihak berkuasa sepatutnya memberi nasihat atau amaran terlebih dahulu kerana kadar kompaun RM10,000 adalah terlalu besar. 


Namun, ramai yang membidas golongan 'menunggu amaran/nasihat' kerana PKP telah dilaksanakan sejak Mac 2020 dan sepatutnya tiada alasan untuk tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.


"Dah setahun PKP, takkan masih nak bagi nasihat lagi? Baru wujud ke baru hidup?" kata netizen. 


Sumber: Harian Metro, Facebook Info Roadblock JPJ/POLIS

No comments