'Allahuakbar! Tersentak saya & suami bila dimaklumkan pekerjanya' - Wanita viralkan premis sushi hidang daging khinzir, tetapi dinafikan oleh pihak restoran


22 Mac 2021, seorang wanita mendedahkan dia dimaklumkan oleh pekerja sebuah restoran makanan Jepun di Central i-City Shah Alam untuk tidak masuk kerana menu mereka mengandungi daging terlarang iaitu daging khinzir. 


Pada awalnya, wanita itu bersama dengan anak dan suaminya merancang untuk makanan di sebuah restoran sushi terkemuka, tetapi terpaksa dilupakan kerana restoran itu tidak lagi menerima pelanggan selepas jam 8.30 malam. 


Beberapa buah restoran yang mereka kunjungi juga enggan menerima pelanggan dengan alasan yang sama sehinggalah mereka ternampak sebuah restoran sushi yang masih menerima pelanggan. 


"Melihat pada pakaian yang dipakai, majoriti pelanggannya beragama Islam (perempuan bertudung). Tetapi encik suami perasan, semua pekerjanya berbangsa Cina. 


"Saya dan suami pun beratur untuk mendapatkan tempat. Tiba-tiba salah seorang daripada pekerja wanita berbisik kepada saya bahawa mereka ada menu daripada daging khinzir. 


"Allahuakbar, tersentak saya dan suami. Ramainya orang Islam kat dalam kedai tu. Saya tanya banyak kali juga supaya lebih jelas. Dia (pekerja) bersungguh tak bagi saya masuk sebab saya berniqab. Allahuakbar. Allah selamatkan saya dengan sebab niqab yang saya pakai. MasyaAllah," tulisnya. 


Wanita itu meluahkan rasa sedihnya kerana dia tidak tahu bagaimana hendak bertindak pada masa itu. Dia berasa kasihan dengan saudara seagamanya yang tertipu dengan hidangan di kedai itu dan menasihatkan umat Islam untuk lebih berhati-hati selepas ini. 



Sementara itu, pihak Sushi Jiro melalui Facebook rasminya baru sahaja mengeluarkan kenyataan ringkas yang menafikan dakwaan tersebut. 


"Kami ingin menjelaskan bahawa premis kami adalah bebas dari (menghidang) daging babi). Mengenai maklumat palsu berkenaan, kami akan menjalankan siasatan. Terima kasih."



Sumber: Facebook Emma Azri, Facebook Sushi Jiro

No comments