'Seawal jam 5 pagi dah mula kedengaran bunyi dentuman sampah dicampak penghuni dari tingkat atas'


"Cuba bayangkan nasib orang yang lalu lalang di bahagian bawah dihempap dengan plastik sampah yang berisi botol kaca, kulit durian dan najis," demikian kata penduduk di sebuah flat di Pulau Pinang yang pernah mendapat pelbagai gelaran kerana keadaannya yang sangat kotor seperti penduduknya sudah biasa hidup dalam keadaan teruk seperti itu.


Blok E2, Flat Teluk Indah, Perai, pernah beberapa kali viral di media sosial dan mengundang pelbagai persepsi netizen. Tetapi suasana di flat itu masih sama sehingga ke hari ini. Tiada sebarang perubahan yang dilakukan kerana kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain. 


Penghuni flat menyalahkan jawatankuasa pengurusan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak berkenaan pula menuding jari kepada penghuni kerana bermentaliti kelas ketiga. 


Salah seorang penghuni, Zaharah Najib, 61, yang tinggal di di situ sejak lapan tahun lalu berkata, mereka sudah lali dengan keadaan itu dan tiada apa yang dapat dilakukan kerana masalah itu tetap berlarutan walaupun terdapat pelbagai usaha yang dilakukan untuk memulihkan flat tersebut. 


Menurutnya, seawal jam lima pagi akan mula kedengaran bunyi dentuman sampah yang dicampak dari tingkat atas, yang dipercayai dilakukan oleh penduduk warga asing sebelum mereka keluar ke tempat kerja. 


"Isu ini bukan perkara baharu, sebagai penduduk memang saya malu bila kawasan perumahan kami dilabel bukan-bukan oleh orang ramai. Namun sehingga hari ini tiada siapa mampu menyelesaikannya.


"Apa yang berlaku disebabkan sikap pemalas dan tidak bertanggungjawab segelintir penduduk, akibatnya semua penghuni menerima kesan terutamanya mereka yang tinggal di aras bawah kerana terpaksa menghidu bau busuk. 



Difahamkan, pihak pengurusan pernah menyediakan tong sampah besar di setiap aras. Malangnya tabiat suka mencampak sampah dari tingkat atas masih jua berlaku dan menjadi pilihan golongan yang tidak bertanggungjawab itu. 


Bukan hanya warga asing, malah ada penduduk tempatan juga melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dengan membuang sisa buangan dari tingkap rumah seperti lampin bayi, tuala wanita dan sisa makanan. 


Selain masalah sampah, masalah yang membabitkan isu keselamatan, lif rosak, kes kecurian motosikal juga kerap berlaku sehingga menyebabkan kawasan flat itu digelar sebagai kawasan hitam. 


Sumber: Sinar Harian, Mamu Jarum

No comments