Pelajar didera & dibunuh EX-BF selepas polis enggan respon panggilan kecemasan


Seorang wanita muda dipercayai didera dan dibunuh oleh bekas teman lelakinya, setelah polis gagal memberi respon terhadap tujuh panggilan kecemasan. 


Vera Pekhteleva, 23, maut selepas dipercayai dicekik menggunakan kabel seterika dalam serangan selama 3 jam 30 minit itu oleh bekas teman lelakinya, Vladislav Kanyus, 24, di sebuah flat di Kemerovo, Siberia, Rusia. 


Difahamkan, Vera terdahulu datang ke rumah Vladislav untuk mengambil barangnya selepas mereka tidak lagi menjalinkan hubungan sebelum dia ditahan dan diserang oleh lelaki itu, termasuk kepalanya dihentak ke dinding. 


Polis berkata, pihaknya menemui 56 kesan luka, termasuk di bahagian kepala dan patah tulang. 


Jiran-jiran yang terdengar bunyi kejadian itu cuba menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan, tetapi polis tidak mengendahkan aduan itu dengan alasan pertengkaran di antara pasangan adalah perkara normal. 


Salah seorang jiran berkata, dia terdengar Vera cuba keluar dari rumah itu beberapa kali tetapi dihalang.


Setelah gagal mendapatkan bantuan polis, saksi akhirnya bertindak mengumpil pintu rumah itu menggunakan batang besi dan menemui mayat mangsa. 


Ibu mangsa, Oksana Pekhteleva, kini menuntut dua anggota polis, Mejar Mikhail Balashov dan Kapten Dmitry Taritsyn untuk dikenakan tindakan. 


Oksana juga menolak dakwaan kononnya anaknya dipukul sebanyak empat kali dan dicekik, berbeza dengan hasil pemeriksaan pakar forensik yang mendakwa anaknya mengalami 56 kecederaan berasingan. 


Walaupun kematian Vera berlaku pada tahun lalu, perincian kes itu baru didedahkan setelah siasatan dilakukan baru-baru ini. 


Sumber: Daily Star

No comments