Budak main di depan rumah maut dilanggar kereta


Seorang kanak-kanak lelaki maut setelah dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda di depan rumahnya, di Lorong Semarak 2A/6, Taman Semarak.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.20 petang semalam dan ketika itu mangsa, Nuh Muhammad Dzulqarnain Asman, 5, bermain di kawasan halaman rumahnya. 


Mangsa dilanggar kenderaan yang dipandu lelaki berusia 69 tahun yang melalui kawasan perumahan itu. Mangsa dikejarkan ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia. 


Berdasarkan siasatan, pemandu terbabit terdengar suara orang menjerit 'budak' lalu berhenti dan keluar dari kenderaan sebelum mendapati mangsa terbaring berhampiran tayar hadapan sebelah kanan. 


"Mangsa yang mengalami kecederaan parah terus dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan," katanya. 


Kes sedang disiasat dan polis memint orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kernaa menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya. 


Polis juga menasihatkan ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak yang bermain di luar rumah agar kejadian yang sama tidak berulang. 


Sumber: Harian Metro

No comments