'Jual RM10 sebungkus, pelanggan dari kalangan penduduk kampung' - Penjual ikan laga jual air ketum ditahan polis


Tertarik dengan hasil penjualan air ketum mendorong seorang penjual ikan laga untuk melakukan pekerjaan sampingan itu di Kampung Chabang, Kerteh. 


Suspek berusia 21 tahun itu mengaku, dengan pekerjaan itu dia berjaya memperoleh RM10 hasil dari penjualan sebungkus air ketum, berbanding hanya RM5 menjual ikan laga. 


Bagaimanapun, sepandai-pandai si polan menjual air ketum, akhirnya ditangkap jua apabila dia ditahan polis di rumahnya pada jam 4.30 petang kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan mendapati suspek 'berkecimpung' dalam aktiviti haram itu sejak September 2020, sebelum terbongkar baru-baru ini hasil dari maklumat dan risikan pihaknya. 


Dalam serbuan itu, polis merampas 28 bungkus air ketum bersama dengan empat botol ubat batuk yang disimpan di dalam peti ais. Turut dirampas, beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan aktiviti haram tersebut. 


Ketika disoal siasat, suspek mengaku menjual air ketum bagi menambah pendapatannya di mana pelanggannya terdiri daripada penduduk Kampung Chabang. 


Difahamkan, suspek membeli daun ketum itu daripada pihak lain dan melakukan pemprosesan sendiri sebanyak dua kali sebulan untuk dijual di kalangan penduduk Kampung Chabang. 


Suspek yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah lampau dan bebas dari pengarah dadah itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. 


Sumber: Harian Metro

No comments