Budak maut, perut disepak & ditumbuk bapa tiri kerana terkencing di luar mangkuk tandas


Lelaki berusia 28 tahun di Singapura di dakwa di mahkamah pada 2 Februari 2021 atas pertuduhan membunuh anak tirinya berusia 4 tahun pada September 2018 di kediaman mereka di sebuah flat di Bukit  Batok. 


Tertuduh, Muhammad Salihin, berang dengan anak perempuannya, Nursabrina Agustiani Abdullah, yang dikatakan terkencing di luar mangkuk tandas. 


Dalam pengakuannya kepada polis dan pakar psikiatri, dia menendang perut mangsa ketika kanak-kanak itu terbaring di lantai dan mengaku menyasarkan perutnya untuk memberi pengajaran. 


Salihin berkata, dia dan isterinya, Syabilla Syamien Riyadi, 24, puas mengajar Sabrina cara-cara membuang air di tandas memandangkan dia bakal memasuki pra-sekolah. 


Pada 1 September 2018, Salihin ternampak kesan air kencing di lantai tandas menyebabkan dia bengang. Pada ketika itu, Syabilla telah keluar bekerja. 


Salihin meletakkan anaknya di atas mangkuk tandas dan menumbuk perutnya beberapa kali. 


Pada petang itu, Sabrina pergi ke tandas bersendirian seperti yang diarahkan oleh Salihin. Namun, Salihin mendapati Sabrina masih mengulangi kesilapannya itu lalu menolak anak kecil itu sehingga terjatuh. 


Dalam masa yang sama, Salihin menendang perut mangsa sekurang-kurangnya dua kali sebelum mengangkat mangsa dan menumbuk perutnya sekali lagi yang menyebabkan mangsa menangis. 


Pada lewat petang hari yang sama, Syabilla pulang ke rumah. Selepas makan malam, Sabrina mengaku sakit perut dan muntah sepanjang malam. 


Pagi keesokkan harinya, Sabrina tidak sedarkan diri selepas Salihin menggunakan jari menjolok ke dalam mulut Sabrina untuk memaksanya muntah. Dia kemudian membawa mangsa keluar dari tandas dan meminta Syabilla menghubungi ambulans. 


Apabila paramedik tiba pada jam 9.30 pagi, Sabrina didapati tidak bernafas dan tiada denyutan nadi. Mereka berusaha menyelamatkannya tetapi gagal sebelum pihak Hospital Umum Ng Teng Fong mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 


Keesokkan harinya, Salihin ditahan polis selepas pihak hospital melaporkan punca kematian mangsa kepada polis. 


Sementara itu, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang teruk di bahagian perut.


Syabilla pula menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan kepada mahkamah yang Sabrina memberitahu dua anak lelaki kembar (tiri) yang berusia hampir dua tahun pada ketika itu, duduk di atas perut Sabrina.


Si ibu yang berasal dari Indonesia itu bagaimanapun tidak bertnaya soalan lebih lanjut kepada suaminya kerana 'takut'. 


"Dia akan menjadi defensif jika saya tanya banyak soalan," katanya.


Salihin kini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh mangsa. 


Selain itu, Salihin juga menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu melakukan keganasan terhadap mangsa. 


Antara Julai dan Oktober 2017, Salihin dituduh menyebabkan melecurkan badan mangsa menggunakan air panas dari kepala pancuran air mandian di dalam bilik air di mana mangsa ditahan kira-kira lima hingga enam saat. 


Salihin berbuat demikian kereta dia mahu menjimatkan kos elektrik dan marah pada mangsa yang enggan mandi dengan air sejuk. 


Antara Januari dan April 2018, Salihin juga dituduh menghentak kepala mangsa di lantai kerana geram mangsa bersembunyi di bawah katil semasa dia cuba menyuap makanan kepadanya. 


Sumber: Berita Harian Singapura

No comments