'Mungkin dia panik & rentap anting² dengan kuat' - Telinga bayi 10 bulan terkoyak


Bayi perempuan berusia 10 bulan cedera di bahagian telinga kiri akibat anting-anting yang dipakainya tersangkut pada jaring kipas angin. 


Dewi Diana Muhamad Samsudin, 31, ibu kepada mangsa, Delisha Diana Mohd Shamsul Azman berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 pagi 8 Februari 2021 di kediaman mereka, Kampung Petani, Batu Pahat, Johor. 


Ketika itu, dia berada di dapur, manakala anaknya berada di bilik bersama dengan suaminya, Mohd Shamsul Azman, 34. Mereka langsung tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah mendengar suara tangisan mangsa.


"...saya dan suami tidak sedar sehingga mendengar tangisan Delisha. Anting-anting itu tersangkut ketika Delisha mahu mencapai barangan di belakang kipas angin berkenaan. 


"Mungkin kerana panik, dia cuba rentap anting-anting itu dengan kuat dan akhirnya, telinganya luka akibat terkoyak," katanya. 


Mangsa segera dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran pada awal kejadian, namun doktor tidak dapat memberi rawatan dan meminta pasangan itu membawa anak mereka ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. 


Mereka tiba di HSNI pada jam 12 tengah hari dan bertemu dengan pakar telinga jam 2.30 petang. Setelah menjalani pemeriksaan, Delisha dikatakan perlu berpuasa selama empat jam sebelum menjalani prosedur di bilik bedah. Pembedahan berjalan lancar dan Delisha dibenarkan pulang pada jam 3 petang keesokan harinya. 


Diana berkata, dia berkongsi pengalamannya itu untuk dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada golongan ibu bapa di luar sana untuk sentiasa berjaga-jaga. 


"Saya ambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan lebih mengawasi Delisha. Cuma pengalaman itu sedikit sebanyak membuatkan saya takut untuk memakaikan Delisha anting-anting buat masa ini," katanya. 


Sumber: Harian Metro

No comments