Kecewa UMNO kekal pemimpin lama, Mas Ermieyati umum keluar parti
Bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bertindak keluar dari parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai anggota parlimen bebas.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjelaskan, tindakannya itu dibuat kerana kecewa dengan UMNO yang disifatkannya tidak berubah.
"Oleh yang demikian, bermula 1 Julai 2018, dengan seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman, saya mengumumkan keluar daripada parti UMNO bersama-sama dengan pengikut setia saya dan saya akan menjadi ahli parlimen bebas.
"...bagi maksud yang telah dinyatakan iaitu untuk menjadi ahli parlimen yang berperanan menegur dan menasihati pihak kerajaan sebagai 'check and balance' atas dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Harapan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.
"... dan berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh parlimen yang efektif," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Difahamkan, Mas Ermieyati kecewa dengan keputusan pemilihan semalam yang menunjukkan reaksi sebenar ahli UMNO yang didakwanya masih berada dalam sindrom penafian. Malah, beliau percaya kepimpinan yang sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO dan beranggapan UMNO hanya mangsa kebencian rakyat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?
"Ikhlas saya katakan, Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menyelar tindakan Mas Ermieyati itu sebagai mengkhianati UMNO dan rakyat yang mengundinya pada PRU14 lalu.
"Dia perlu sedar bahawa dia dipilih untuk bertanding di atas tiket UMNO-BN dan undi yang diberikan kepadanya juga berdasarkan parti yang diwakili.
"Bagi saya, dia telah mengkhianati UMNO yang memberi peluang kepada dia dan mengkhianati rakyat yang mengundi di Masjid Tanah.
"Kalau dia benar-benar 'gentleman', dia kosongkan kerusi itu dan kita buat pemilihan semula dan dia boleh bertanding sebagai apa-apa parti.
"Kalau dia benar-benar rasa tidak berminat dengan UMNO, saya rasa dia boleh umumkan untuk letak jawatan sebagai ahli parlimen dan bertanding semula," katanya.
Sumber: MalaysiaKini, Sinar Harian
Post a Comment