(Video) 'Sindiket transaksi tanpa kebenaran tak mungkin berlaku di Malaysia' - ABM


Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Kumpulan Kad Nasional memberi jaminan kepada orang ramai bahawa transaksi tanpa kebenaran menggunakan mesin terminal bayaran (POS) mudah alih, tidak mungkin berlaku di Malaysia.

ABM mengulas video yang kini tular di platform media sosial menunjukkan seorang lelaki menggunakan terminal POS mudah alih melakukan transaksi tanpa kebenaran dengan menyentuh POS pada poket pemegang kad pembayaran tanpa sentuh.


Dalam kenyataan semalam, ABM berkata insiden itu tidak berlaku di Malaysia, dan aktiviti penipuan itu tidak mungkin berlaku di sini kerana proses ketat pemilihan pedagang oleh bank dan institusi kewangan.

“Hanya perniagaan berdaftar (pedagang yang diluluskan), dan telah menjalani proses pemeriksaan pelanggan secara teliti oleh bank atau institusi kewangan, layak memohon kemudahan terminal POS,” katanya.

ABM berkata semua urus niaga yang dibuat di terminal POS mesti diproses oleh bank atau institusi kewangan, dan urus niaga berkenaan boleh dikesan.

“Setiap  transaksi untuk pembayaran tanpa sentuh juga mempunyai had yang ditetapkan oleh bank atau institusi kewangan, dengan urus niaga melebihi had mesti memperoleh kuasa menggunakan nombor pengenalan diri yang hanya diketahui oleh pemegang kad.


“Pemegang kad yang mahu mengurangkan had urus niaga atau mematikan fungsi tanpa sentuh, dinasihatkan  menghubungi bank atau institusi kewangan masing-masing,” katanya. — Bernama

No comments