Bayi berusia 1 bulan maut akibat tersedak susu


Seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di kediaman keluarganya pagi semalam, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 6.15 pagi di Taman Nusari Bayu 1, Sendayan, Seremban, wanita berusia 20-an itu menyedari bayinya tidak bernafas dengan mukanya menjadi kebiruan di atas katil. 

Menurut sumber polis, sebelum kejadian itu, si ibu menyusukan anaknya dalam posisi mengiring sebelum tertidur kira-kira jam 12.15 tengah malam. 

"Apabila terjaga daripada tidur pada jam 6.15 pagi, wanita itu cuba mengejutkan bayinya. namun dia tidak bergerak dan pemeriksaan kemudian mendapati dia tidak bernafas. 

"Dia dan suaminya yang berusia 29 tahun segera membawa anak mereka ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini," katanya.

Pakar perubatan HTJ yang melakukan pemeriksaan mengesahkan, bayi itu telah meninggal dunia. 

"Pemeriksaan pada tubuh bayi tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah. Bapanya memaklumkan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mempunyai sebarang penyakit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments