Wanita maut, organ gagal berfungsi selepas jari tertusuk ekor udang
Ramai yang menggemari makanan laut, tetapi adakalanya penyediaannya agak melecehkan kerana proses penyediaannya yang memakan masa seperti membuat kulit, menyiang dan membasuh bahan mentah itu. Tetapi hasilnya kelak, amatlah berbaloi.
Bagaimanapun, orang ramai khususnya suri rumah perlu berhati-hati kerana seorang wanita warga emas berusia 60 tahun di Daerah Guannan, wilayah Jiangsu, China, mengalami masalah kesihatan selepas jari tengah tangan kanan tertusuk ekor udang ketika membersihkan udang.
Lapor Apple Daily, mangsa pada awalnya hanya merasa sedikit kesakitan dan mengabaikan luka kecil itu. Keesokan harinya, dia menyedari jari tengahnya bengkak tetapi masih tidak melakukan apa-apa untuk merawat jarinya itu.
Pada hari yang sama, mangsa secara tiba-tiba demam dan bahagian kedua-dua belah kakinya mula membengkak teruk.
Terkejut melihat keadaannya itu, mangsa kemudian dihantar keluarganya ke hospital. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kejutan septik dan organ-organ badannya mula gagal berfungsi.
Doktor cuba menyelamatkan warga emas berkenaan, malangnya selepas 10 hari dirawat di hospital, mangsa meninggal dunia.
Doktor berkata, mereka mengesyaki mangsa dijangkiti bakteria berbahaya yang jarang ditemui iaitu Vibrio Vulnificus, yang kebiasaannya ditemui kawasan marin dan juga boleh diperolehi dari makan makanan laut yang mentah atau ikan yang tidak dimasak 100 peratus, atau kulit cedera dan terdedah kepada jangkitan bakteria.
Mangsa yang juga menghidap penyakit hati menjadikan dirinya lebih berisiko apabila dijangkiti bakteria itu.
Sumber: World of Buzz
Post a Comment