Krabi dan Phuket sebenarnya salah satu sempadan asal Semenanjung Tanah Melayu
Krabi dan Phuket merupakan dua destinasi perlancongan yang menarik perhatian pelancong untuk menikmati panaroma yang indah dan juga dikenali sebagai syurga makanan. Kedua-dua destinasi ini diketahui umum adalah di bawah naugan negara Thailand.
Tetapi tahukah anda, berdasarkan sejarah, Krabi dan Phuket merupakan salah satu dari sempadan asal Semenanjung Tanah Melayu. Phuket dan Krabi dulunya dikatakan merupakan tempat berkelah keluarga Diraja Kedah dan merupakan salah satu jajahan takluk Sultan Kedah sebelum termeterainya perjanjian Anglo-Siamese Treaty pada tahun 1909.
LeAlterEgo merungkai sejarah di sebalik kedua-dua tempat ini. Menurutnya sebelum ini, terdapat beberapa nama pulau dan tempat menggunakan bahasa Melayu.
SUKA pergi Krabi dan Phuket? Tapi tahu tak kisah di sebalik Krabi dan Phuket yang patut kita tahu? Mungkin selepas ni kalau kita pergi, kita dapat melihat dari sudut yang berbeza.
Tahukah korang semua bahawa Krabi dan Phuket merupakan salah satu dari sempadan asal Semenanjung Tanah Melayu? Sebenarnya sempadan Semenanjung Tanah Melayu jauh lebih luas dari yang sebelumnya.
Dan Semenanjung Tanah Melayu sendiri bermula dari utara Segenting Kera yang berada di bawah wilayah negara Thailand dan Myanmar sampailah ke bahagian selatan Singapura. Inilah peta sebenar.
Pada satu masa dulu, Phuket dikenali sebagai Pulau Bukit dan Krabi pula berasal dari perkataan Ghraibi.
Untuk pengetahuan korang, Phuket dan Krabi dulunya merupakan tempat berkelah keluarga Diraja Kedah dan merupakan salah satu jajahan takluk Sultan Kedah sebelum termeterainya perjanjian Anglo-Siamese Treaty pada tahun 1909.
Dan dulu juga, penduduk yang berada di Negeri Patani bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu dengan loghat Kelantan (Yawi).
Sementara itu penduduk Melayu yang berasal daripada wilayah Setul (yang kini dikenali sebagai Satun) hinggalah ke Rundung (kini dengan nama Ranong) dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam Bahasa Melayu dengan loghat Kedah.
Jangan salah sangka bila pergi ke kawasan itu dan jumpa dgn penduduk Melayu. Mereka semuanya bukanlah pendatang di negara Thailand tapi sebaliknya merupakan kaum asal yang telah lama menduduki kawasan tersebut sejak dulu dan merupakan warisan daripada Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka
Hanya pada tahun 1909 disebabkan oleh Anglo-Siamese Treaty yang dibuat antara pihak British dengan Thailand telah memisahkan Semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian.
Perjanjian inilah sebenarnya yang telah menukarkan semua nama-nama Melayu yang berada di Thailand kemudiannya diubah kepada sebutan dalam bahasa Thai.
Perjanjian Anglo Siamese Treaty ni dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu yang berada di negeri-negeri berkenaan.
Wilayah-wilayah milik Melayu daripada Patani (Pattani). Singgora (Songkhla), Setul (Satun) hinggalah ke Segenting Kra telah dirampas oleh British dan diberi hak kepada Thai.
Pada tahun 1938, Phibun Songkram yang merupakan Perdana Menteri Thai ketika itu mengamalkan pemerintahan secara kuku besi. Beliau kemudiannya menukar nama Negara Siam kepada Prathet Thai/Thailand.
Secara umumnya, Thailand bermaksud ‘Negara Bagi Orang-orang Bebas’, tetapi secara metaforanya Thailand membawa maksud kepada ‘Tanah Orang-orang Thai’.
Phibun Songkram sebenarnya berhasrat untuk menjadikan Thailand sebuah negara kesatuan berdasarkan kepada budaya Kaum T’ai dan agama Buddha Theravada.
Kaum-kaum minoriti termasuklah Melayu yang ada di wilayah-wilayah asal Semenanjung Tanah Melayu telah dipaksa untuk ‘menjadi Thai’ melalui pemaksaan dasar Thai Ratthaniyom dan nama-nama tempat yang berbunyi Melayu di kawasan Segenting Kra diubah kepada sebutan dalam Bahasa Thai.
Oleh sebab itu, siapa yang pernah pergi ke Hatyai mungkin ada yang tahu dan tak tahu bahawa Samila Beach sebenarnya berasal dari perkataan Melayu iaitu Pantai Bismillah. Dan siapa yang pernah pergi ke Phi-Phi Island mesti perasan dengan signboard ni. Koh Phi Phi berasal dari perkataan pulau api-api.
Tanggal 10 Mac yg lepas genaplah 109 tahun wilayah Melayu di selatan Thailand terpisah dengan Semenanjung Tanah Melayu. Alangkah indah sekali kalau mereka masih menjadi dari sebahagian daripada kita. Tapi sejarah hanya tinggal sejarah dan kini hanya tinggal secebis tanah yang berdaulat.
Pada waktu sekarang kaum Melayu yang berada di negeri Setul, Singgora dan Patani sahaja yang masih mampu bertutur dalam bahasa Melayu mengikut loghat tempatan. Dan ketiga-tiga negeri ini telah ditukarkan kepada sebutan dalam bahasa Thai bahkan negeri Singgora sendiri telah dipecahkan kepada empat daerah.
Sekarang Singgora dikenali sebagai Songkhla dan empat daerah yang dipecahkan ialah Thepha (nama aslinya Tiba), Chenak, Saba Yoi (nama asal Sebayu) dan Nawi. Manakala negeri Patani pula dipecahkan kepada Pattani, Yala (Jala) dan Narathiwat (Menara).
Sementara masyarakat Melayu Islam yang lain yang berada di wilayah asal Semenanjung Tanah Melayu lain terus menjadi minoriti dan ada juga yang ditindas. Ada juga kebanyakannya telah berkahwin dengan kaum Thai dan tak mampu lagi untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
Cuma agama Islam yang menjadi penanda bahawa mereka masih lagi merupakan keturunan Melayu. Akan tetapi masyarakat Melayu yang berada di wilayah Pulau Dua (kini dengan nama Kawthoung) yang terletak di Myanmar masih lagi mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan loghat Kedah.
Sesiapa yang pernah sampai ke wilayah Ranong (Rundung) Thailand, jangan lepaskan peluang untuk pergi ke Batu Tanda yang menyimpan lipatan sejarah besar yang berkaitan dengan masyarakat Melayu dan Siam di zaman silam
Batu Tanda tersebut dinamakan sebagai Ban Malayu di Thailand yang bermaksud sempadan Melayu. Kawasan itulah sebenarnya merupakan tempat yang paling sempit antara bahagian timur dengan bahagian barat Segenting Kera.
Dan wilayah Segenting Kera ni juga merupakan sebuah kawasan yang menjadi saksi kepada kemunculan dan perkembangan awal tamadun Melayu menerusi beberapa buah kerajaan utama seperti Langkasuka dan Sri Wijaya.
Wilayah ini juga menjadi pertembungan beberapa siri peperangan dan perebutan wilayah antara orang-orang Melayu dengan pendatang T’ai yang berhijrah dari China secara berterusan yakni sejak dari era Kerajaan Sukothai, Ayutthaya hinggalah kepada Dinasti Chakri pada hari ini.
Dari sini kita dapat menyelami betapa luasnya wilayah yang diduduki orang Melayu pada zaman dahulu. Apa pun, benda yang dah berlaku takkan mungkin boleh diulang kembali.
Cumanya selepas ni, aku harap selepas ni kalau kita dapat pergi ke tempat yang aku beritahu tadi kita dapat selitkan rasa bangga bahawa kawasan tu pernah menjadi salah satu dari kawasan Semenanjung Tanah Melayu dahulu.
Akan datang nanti aku akan buat lagi thread tentang kisah-kisah Nusantara dan sejarah yang ada di Asia Tenggara khususnya.
Sumber: LeAlterEgo
Post a Comment