(Video) 'Woi! Berhenti! Berhenti!' - Lagi kes pemandu memandu lawan arus


Viral di media sosial rakaman video seorang pemandu kereta Perodua Axia memandu melawan arus di Lebuhraya NPE, berhampiran Taman Dato' On. 

Berdasarkan video berdurasi lima minit itu, kelihatan sebuah kereta peronda lebuhraya di jalan bertentang meminta pemandu berkenaan memberhentikan kenderaannya, namun tidak diendahkan. 

Tindakannya itu menyebabkan pemandu di lorong kanan terpaksa menukar laluan ke lorong tengah bagi mengelak berlakukan rempuhan. 

Seorang penunggung motosikal juga cuba membantu, namun gagal berbuat demikian. Beberapa pengguna jalan raya lain cuba membunyikan hon bagi menyedarkan pemandu itu yang dipercayai tidak sedar dengan tindakannya itu.

Pemandu terbabit kemudian memecut keretanya dengan laju dan kelihatan sebuah motosikal polis trafik cuba mengejarnya dari belakang. Menyedari kehadiran anggota polis trafik berkenaan, pemandu itu dipercayai panik lalu terus mara ke depan sebelum membuat pusingan U dan berhenti di lorong kedua. 


Kejadian pemandu memandu melawan arus semakin kerap berlaku dan netizen meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang berbuat demikian.

Ini kerana tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, juga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Dalam kes tahun lalu, seorang pemandu wanita memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Permatang Pauh sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki. 

No comments