Remaja maut ditimpa kerusi pejabat dicampak dari tingkat atas
Seorang remaja berusia 15 tahun mati di tempat kejadian selepas ditimpa sebuah kerusi yang dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 8.30 malam di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, remaja lelaki berkenaan mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, mangsa, S Sathiwaran, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan berjalan bersama ibunya, S Kasthurivai, 45, untuk naik ke rumah mereka di tingkat 16 selepas pergi ke kedai runcit yang terletak di bawah PPR berkenaan.
Malangnya, sebaik saja ingin memasuki bahagian flat yang tertutup berhampiran kawasan tangga, tiba-tiba sebuah kerusi pejabat berwarna biru dipercayai dicampak dari tingkat atas mengenai kepalanya.
"Akibat ditimpa oleh kerusi itu, mangsa parah di kepala. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya bernasib baik kerana tidak terkena kerusi itu" katanya.
Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Post a Comment