'Lagi nampak kita pegang baby, lagi dia gigih bakar rokok tu, sekarang anak saya jadi mangsa'
“... ada yang tak ambil kisah. Lagi nampak kita pegang baby lagi dia bakar rokok tu. Now lihat anak aku sendiri. Ya Allah apa aku patut buat..”
Nampak remeh, sebenarnya tidak. Nampak biasa, sebenarnya berbahaya dan boleh mengundang maut. Isu rokok dan perokok tidak pernah selesai sekiranya tiada langsung kesedaran daripada perokok itu sendiri.
Namun demikian, merokok bukan sahaja mendatangkan penyakit kepada perokok, malahan orang di sekelilingnya terutamanya bayi. Kes-kes bilangan bayi yang mendapat penyakit akibat asap rokok semakin tinggi. Di mana-mana sahaja bayi mudah terdedah dengan asap rokok.
Pokok pangkalnya di sini, di manakah nilai moral seorang perokok? Sesekali ada dengusan yang mengatakan “nak mati, biar mati seorang, jangan libatkan nyawa orang lain.!”.
Sebagai ibu bapa, siapa yang tidak mahu melihat anaknya sihat sentiasa. Tetapi, sesempurna mana pun penjagaan kita, kita tidak boleh lari dari persekitaran yang tercemar. Sampai bila kebebasan bayi dan kanak-kanak dikurung?
Sehinggakan pernah menjadi viral seorang bayi berusia 9 bulan di Batu Pahat disahkan oleh doktor pakar bahawa darah dan paru-paru bayi tersebut dijangkiti kuman. Ibu bapa bayi berkenaan dinasihati supaya tidak membawa bayi mereka keluar dari rumah atau tempat orang ramai sehingga usianya 4 tahun!
Perkongsian Izzati Najib ini mendapat ribuan perkongsian dari netizen.
BENARLAH ilmu itu luas. Dulu umie tak tahu dan tak pernah ambil tahu. Bila renung wajah anak sendiri YA ALLAH, what should i do?? I love him so much and will do anything for him. How can I convience other people?? Patutlah ada ibu-ibu di luar sana sanggup menjauhkan anak dari orang.
Selalu juga dengar, "Alahhh!! Anak aku okey je, hidup juga sampai sekarang.". Allah belum uji lagi. Sekarang aku diuji dengan perasaan takut yang teramat sangat. Aku perhatikan sikap cerewet ibu bapa lain yang betul-betul mementingkan kebersihan dan persekitaran anak-anak. Basuh tangan sebelum pegang bayi anda, yang paling penting jauhi rokok.
Bila kita terlalu ambil tahu dan cerewet, ada yang memerli dan cakap kita mengada-ngada. Ada yang tak ambil kisah. Lagi nampak kita pegang baby, lagi dia bakar rokok itu. Sekarang lihat anak aku sendiri, Ya Allah, apa patut aku buat?"
SISA ASAP ROKOK TETAP BERBAHAYA
Jangan anggap bayi atau anak anda selamat apabila anak merokok di luar rumah. Ini kerana apabila seorang perokok itu merokok, kesan-kesan nikotin masih terlekat di kulit, baju, bangku, sofa, lantai, langsir, dalam kereta dan sebagainya walaupun selepas berjam-jam ditinggalkan oleh perokok.
Yang membimbangkan, kepekatan bahan kimia beracun seperti bahan karsinogen, nikotin, karbon monoksida, benzen, formalsehid dan hidrogen sianid yang terkandung dalam asap rokok 'basi' adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok secara aktif. Ini bermakna, asap rokok itu lebih berbahaya kepada kita berbanding perokok itu sendiri, apatah lagi bayi.
5 KESAN ASAP ROKOK KEPADA BAYI DAN ANAK KECIL
Di Malaysia, bilangan perokok masih meningkat walaupun telah bermacam-macam kempen dijalankan. Sumber menyatakan bahawa, pada tahun 2013, peratusan perokok meningkat kepada hampir 25% dan ia adalah angka tertinggi sejak Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2006.
Berikut adalah antara risiko yang dihidapi oleh bayi yang terdedah kepada asap rokok walaupun bukan secara 'direct'.
1. POTENSI KEMATIAN MENGEJUT
Seperti yang dilaporkan oleh The Health Consequence of Tabacco Use, kebarangkalian untuk bayi kecil mendapat sindrom kematian mengejut (SIDS) adalah tinggi bbagi bayi yang terdedah dengan asap rokok mahupun bayi dalam kandungan.
Selain itu, bayi dalam kandungan juga berisiko lahir kurang berat badan dan komplikasi lain yang membawa kepada ancaman kesihatan secara kekal.
2. MASALAH SALURAN PERNAFASAN
Bentuk peparu kanak-kanak yang lebih kecil dan masih dalam peringkat perkembangan amat penting untuk dijaga demi mengelakkan masalah jangka masa panjang.
Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Norzila Mohamed Zainudin berkata, "Kalau orang dewasa bernafas dalam 15 minit atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula kadar pernafasan mereka adalah lebih tinggi dalam 40 hingga 50.
"Itu bermakna bahawa, dengan kadar pernafasan yang lebih laju, mereka akan menyedut lebih daripada orang dewasa."
Jelas sekali, hampir 90% daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paru adalah daripada keluarganya yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang perokok.
3. SERANGAN LELAH
Selain faktor genetik dan persekitaran, bayi yang tinggal dengan ibu atau bapa yang merokok lebih berkemungkinan menghidap lelah (asma) jika dibandingkan dengan bayi yang tinggal dalam rumah yang tidak mengandungi asap rokok.
Walaupun kini terdapat rawatan untuk penyakit lelah, pendedahan kepada asap rokok yang berterusan sebenarnya boleh menyebabkan serangan lelah yang amat serius. Yang menyedihkan, terdapat kajian mendapati bahawa kandungan nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ubat lelah tidak dapat memberi kesan 100%.
4. MENJEJASKAN PERKEMBANGAN IQ ANAK
Menurut data oleh Amerincan For Non-Smokers' Right, kesan asap rokok 'basi' ini boleh merencatkan keupayaan anak kecil untuk belajar. Ia dibuktikan dengan skor IQ 2.87 poin lebih rendah berbanding anak kecil yang tidak terdedah kepada asap rokok.
Selain itu, kajian Journal of Developmental and Behavioral Pediatrics turut mengaitkan asap rokok sebagai salah satu punca anak yang hiperaktif, ganas dan tertekan serta mengalami masalah ADHD (attention deficit hyperactivity disoder), terutamanya di kalangan anak lelaki.
5. PENYAKIT LAIN YANG SERIUS
Selain dari masalah di atas, banyak lagi penyakit-penyakit lain yang boleh dihidapi akibat dari kesan asap rokok. Antaranya termasuk jangkitan telinga dan saluran pernafasan. Seperti telinga bernanah dan inflamasi pada telinga tengah.
Selain itu, mereka juga boleh terdedah kepada masalah keradangan paru-paru (Bronkitis). Lebih kronik lagi, ia boleh bertukar kepada penyakit lebih serius seperti pneumonia di mana kanak-kanak mula mengalami demam, batuk, meragam dan tidak mahu minum susu kerana dia tidak aktif.
"Betulkan mentaliti, ambil peduli!" kata Dr Mohd Shaiful Ehsan melalui artikelnya di Malaysian Medical Gazette.
"Percaya atau tidak, kita semua adalah perokok. 'Perokok ketiga'. Justeru sila ambil peduli. Perokok pertama adalah mereka yang aktif merokok dan menghidu asap rokoknya sendiri. Perokok kedua atau pasif pula adalah mereka yang menghidu asap rokok yang dibebaskan oleh perokok pertama.
"Manakala perokok ketiga adalah mereka yang terdedah kepada saki baki bahan rokok yang tersisa selepas ditinggalkan oleh perokok pertama dan kedua. Sedar atau tidak, hampir semua penghuni dunia kini adalah perokok ketiga" katanya.
Sumber: Izzati Najib
Post a Comment