(Video) 'Selamba dia je baling dapur gas, kerangka besi, kipas, papan besi dari tingkat atas ke bawah, kalau kena kepala budak macam mana?'
Video dimuat naik Cma Sima pada 2 Januari lalu dan kejadian dikatakan berlaku di sebuah bangunan kediaman di Shah Alam, kembali viral semula susulan kes seorang remaja berusia 15 tahun maut ditimpa kerusi yang dibaling dari tingkat 21 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam malam kelmarin.
Menurut Sima, dia menyedari perbuatan pekerja berkenaan kerana terkejut mendengar bunyi bising barang-barang dilemparkan dari tingkat atas sebelum keluar mencari punca dan mendapati wanita itu sedang melempar barang-barangnya ke tingkat bawah.
Wanita berkenaan sanggup mengambil jalan mudah dengan membuang beberapa barang-barang seperti batang besi, kerusi, tungku dapur dan banyak lagi objek keras ke tingkat bawah berhampiran dengan taman permainan kanak-kanak.
"Ambil mudah saja nak buat kerja. Gila betul main baling saja barang-barang keras dari tingkat empat ke bawah. Sudahlah di situ taman permainan. Kalau terkena kepala budak-budak, tak pasal jadi satu hal pula.
"Alasan dia masa nak baling itu, dia kata dah tengok tak ada budak-budak, itu yang dia baling. Cerdik betul alasan dia. Rupanya mereka memang selalu begini di blok-blok lain. Selagi tak ada orang tegur, selagi itu mereka buat lagi," tulis Sima di Facebooknya.
Dalam video tersebut, wanita berkenaan berulang kali meminta maaf dan memberikan alasan-alasannya untuk melepaskan diri. Bagaimanapun tidak diketahui sama ada Sima membuat aduan kepada pihak pengurusan bangunan itu ataupun tidak.
Meskipun kejadian berlaku pada awal bulan Januari, netizen menggesa Sima membuat laporan polis agar wanita berkenaan disiasat dan dikenakan tindakan tegas kerana tindakannya itu mengancam nyawa penduduk di kediaman berkenaan.
Post a Comment