Suspek sekeluarga dibawa ke balai untuk beri keterangan


Susulan kes seorang remaja berusia 15 tahun maut ditimpa kerusi pejabat dibaling dari tingkat 21 Projek Perumahan Rakyat (PPR) malam kelmarin, polis telah membawa beberapa suspek ke balai untuk memberi keterangan.

Kesemua suspek berkenaan merupakan sekeluarga yang tinggal di salah sebuah unit di blok berkenaan, yang juga jiran kepada nenek mangsa kejadian itu yang mengesah kerusi pejabat berwarna biru itu milik mereka. 

Mendiang Satiswaran akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu, Kayu Ara, Damansara jam 11 pagi ini.

Dalam kejadian malam kelmarin, mangsa pulang dari kedai runcit bersama ibunya. Ketika sedang menunggu lif, tiba-tiba mangsa ditimpa sebuah kerusi yang dibaling dari tingkat 21 menyebabkan kepalanya terbelah. 


Ibu mangsa, Kasthuribai berkata, dia terpaksa menadah otak anaknya dengan kedua-dua belah tangannya dan mata anaknya memandang muka dia dengan pandangan kosong, sebelum dia menjerit meminta tolong. 

"Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua belah tangan. Anak memandang muka saya tepat, tetapi kosong. Dia kemudian rebah di depan mata saya, lalu saya menjerit meminta tolong," katanya. 

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memasang jaring di blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat sikap penghuni yang suka membaling barang dari tingkat atas.


Sumber: Sinar Harian

BERITA BERKAITAN:
  1. Remaja maut ditimpa kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas
  2. 'Kepalanya terbelah, saya tadah otaknya dengan tangan dan anak pandang muka saya tetapi kosong' - Ibu mangsa

No comments