'Saya tak diberitahu berapa berat ikan, kena bayar RM1,660' - Lagi pelanggan dakwa dianiaya restoran viral di Langkawi

Susulan pendedahan dua pelanggan yang mendakwa terpaksa membayar harga hidangan mahal di sebuah restoran terapung di Pulau Langkawi baru-baru ini, tampil seorang lagi wanita mendakwa turut dianiaya oleh restoran yang sama. 


Rohani Osman berkata, dia langsung tidak dimaklumkan mengenai berat ikan siakap yang diberikan menyebabkan dia terpaksa membayar mahal untuk hidangan yang dipesan pada hari kejadian, di luar harga jangkaannya. 


"Terpanggil untuk menceritakan pengalaman peribadi. Untuk kes saya di restoran yang sama. Saya buat pesanan seperti biasa, ikan siakap tiga rasa satu, udang masak pedas dan beberapa lagi hidangan lain. Dan saya tidak diberitahu berapa kilogram ikan siakap yang akan diberikan. 


"Tetapi saya sedia maklum, makan di restoran terapung mesti mahal dan dalam kiraan saya, mungkin lebih kurang RM600 ke RM700 untuk kami sekeluarga. 


"Namun, saya diberikan ikan siakap berat 4.98 kilogram dan jumlah keseluruhan bil adalah RM1,660. Sedangkan saya makan bersama suami, mak dan anak-anak saya yang masih kecil," katanya. 


Tambahnya, dia bukannya tidak mampu tetapi berasa dianiaya. Malah katanya, sudah ramai yang terkena kerana peniaga tidak memaklumkan dan menunjukkan terlebih dahulu ikan yang diberi. 


"Bukan tidak mampu, cuma rasa teraniaya. Ramai yang terkena sebab peniaga tak maklum dan tunjukkan dulu ikan. Ada sebuah keluarga di belakang saya pada waktu itu, terpaksa mengumpul duit dari mak dan adik beradik. Kasihan, (mereka) nampak sedih dan terkejut. 


"Semoga peniaga lebih telus selepas ini, maklumkan kepada pelanggan akan kemungkinan harga yang bakal dikenakan," katanya yang turut menjadikan insiden itu sebagai pengajaran buat dirinya di masa depan. 


Sumber: Facebook Rohani Osman

No comments