'Bagi sebab kenapa ikan siakap awak mahal, kalau tak...' - KPDNHEP tuntut penjelasan dari owner restoran viral Langkawi


Susulan tular harga ikan Siakap mencecah empat angka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, memberi tempoh selama lima hari kepada pemilik restoran berkenaan untuk menjelaskan kos operasinya. 


Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad,  penjelasan tersebut perlu diberikan sebelum 11 November 2021.


"KPDNHEP telah mengeluarkan notis kepada pemilik restoran berkenaan ketika tinjauan pegawai KPDNHEP pada 5 November. Penjelasan perlu diberikan oleh pemilik restoran sebelum 11 November ini.


"Segala maklumat yang diberikan akan dianalisis menggunakan mekanisme pencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


"Antara keterangan yang diperlukan adalah maklumat berkaitan kos operasi termasuk kos barangan, kos utiliti serta kos upah berdasarkan kepada peratusan mark up atau peratusan margin bagi tempoh tiga tahun sebelumnya," katanya.


Mengulas lanjut, Mohd Shahran berkata kes itu diklasifikasi sebagai dalam siasatan. Beliau dalam pada itu menjelaskan, notis itu bagaimanapun tidak bermakna pemilik restoran terbabit sudah melakukan kesalahan.


Isu ini tular bukan sahaja melibatkan seorang pelanggan, malahan beberapa pelanggan mendakwa telah ‘terjerat’ dengan menu yang disediakan. Oleh yang demikian juga, ada antara mereka yang telah melaporkan isu berkenaan kepada pihak yang berwajib. 


Sumber: Astro Awani

No comments