'Sarapan pagi percuma untuk murid tiada peruntukan, tetapi RM100 juta untuk MP Pekan ada pula duit?!' - Maszlee selar Putrajaya


Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama telah mula dilaksanakan pada 20 Januari 2020 yang membabitkan 100 buah sekolah dari seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari. Kos pelaksanaan fasa pertama program itu telah dianggarkan sebanyak RM22 juta.


Program ini telah dicadangkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik pada Ogos tahun 2019, untuk 2.7 juta murid mendapatkan makanan berkhasiat sebelum bermulanya sesi pembelajaran. Bagaimanapun akibat kekangan kewangan program itu hanya meliputi 100 sekolah sahaja.


Program PSP bertujuan menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang, bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran dengan lebih baik.


Namun begitu, pelaksanaan program ini tidak lagi dapat diteruskan berikutan tiada peruntukan. Keputusan ini sedikit sebanyak telah memeranjatkan banyak pihak. Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan dan mendakwa masih ramai  pelajar yang memerlukan program seperti itu.


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik meluahkan rasa kecewanya berhubung pembatalan program tersebut melalui ciapan di Twitter. Maszlee akui dia juga terkejut dengan peruntukan yang dipertimbangkan pula sebaliknya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 


“Sarapan pagi percuma untuk murid-murid sekolah rendah tiada peruntukan, tapi untuk MP Pekan ada RM100 juta ada pulak duit? 


“Wahai ibu bapa, anak-anak anda tiada nilai di mata kerajaan hari ini berbanding MP Pekan,” tulis beliau di Twitter.



Beberapa hari lalu, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.


Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.


Sumber: Maszlee Malik, Astro Awani

No comments