'Bila dia tak ada, saya tak tahu nak rujuk siapa' - Shuib akui sukar menangani emosi bila kehilangan isteri, terpaksa jumpa pakar psikiatri


Pemergiannya dirasai oleh semua golongan lapisan masyarakat. Bukan sahaja pemergiannya mendapat liputan dalam negara, malah media antarabangsa juga telah menerbitkan kisah pemergian pelantun suara berjudul ‘Kesetiaan’ iaitu Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin. 


Semasa hayat Allahyarhamah, beliau dikenali sebagai seorang yang riang dalam kalangan sahabat dan juga rajin bersedekah. Beliau juga pandai menambat hati peminatnya. Semasa tempoh PKP, beliau sangat rajin memuat naik video masakan beliau yang diselang-selikan dengan loghat Terengganu. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti terhibur. Video masakan beliau sehingga kini dimuat naik oleh ibu tirinya yang dikenali sebagai Mak Der. Rata-rata netizen meluahkan rasa terubat rindu dengan video-video masakan tersebut.


Kehilangannya sudah pasti meninggalkan kesan yang amat mendalam buat keluarga ini terutamanya suaminya, iaitu Shuib. Menerusi laporan Harian Metro, Shuib menyatakan dia masih susah meneruskan kehidupan sehariannya. Apatah lagi dengan statusnya sebagai bapa tunggal. Shuib juga dikatakan terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri setiap minggu untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental.


"Sehingga kini, saya tak akan bercerita dengan orang lain sekiranya ada masalah walaupun dengan mak atau mentua. Saya hanya boleh pergi ke pusara isteri dan berkongsi dengannya. Disebabkan hal itu juga, setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang pernah menjaga Siti Sarah untuk memeriksa kesihatan tahap saya. Lebih kurang pakar psikiatri lah.


"Perjumpaan tersebut juga bagi memastikan kesihatan mental saya dalam keadaan baik sebab berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita," katanya yang memaklumkan dia menziarahi kubur Allahyarham Sarah setiap hari Isnin dan Jumaat untuk berkongsi perasaannya.


Menurut Shuib, emosi antara perkara yang paling sukar dirawat walaupun Allahyarham sudah pergi lebih tiga bulan lalu.


"Saya akui kesukaran yang saya hadapi sepanjang bergelar bapa tunggal ini adalah emosi. Saya rasa itu yang paling susah untuk saya. Saya tengok anak-anak saya, Alhamdulillah emosi mereka stabil tapi saya berbeza.


"Ketika hayatnya, saya buat hampir semua benda dengan Sarah. Saya banyak kongsi hal kerjaya dan juga perniagaan dengannya. Contohnya kalau ada masalah dalam perniagaan atau peribadi, saya rujuk dengan dia dan begitu juga sebaliknya. Dia tak ada, tak tahu nak rujuk siapa," luah bapa kepada empat orang anak ini.


Gambar-gambar semasa percutian mereka sekeluarga ke Langkawi baru-baru ini juga menyentuh hati netizen. Shuib dilihat membawa bersama tudung keluaran syarikat Allahyarhamah. Manakala anak perempuannya yang mesra dipanggil Dek Ta pula menulis di atas sekeping nota yang berbunyi, “I miss you mummy.” 


Semoga Shuib dan anak-anaknya Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Al- Fatihah buat Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin.


Sumber: Instagram Suciuwais, Sitisarahraisuddin, Harian Metro

No comments