'Saya akui itu memang saya, tak perlu tahu siapa lelaki itu' - Baby Shima tampil beri penjelasan mengenai gambar viral
Tular di media sosial gambar penyanyi dangdut Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 28, mengunjungi pusat hiburan bersama seorang lelaki di ibu kota.
Menurut laporan Harian Metro, gambar tular itu seperti menampakkan penyanyi berkenaan sedang mencium lelaki tersebut yang sedang memegang gelas minuman.
Terkejut akan penularan gambar itu, tuan empunya badan tampil memberi penjelasan tetapi enggan mengulas lebih lanjut mengenai identiti pasangannya.
"Saya akui itu memang saya. Namun, saya minta maaf kerana tak dapat mengulas lanjut. Tak perlulah saya beritahu siapa lelaki itu. Untuk apa? Kerana tiada kepentingan pun untuk diberitahu.
"Yang penting segala perbuatan saya bukan babitkan orang lain dan bukan ganggu orang lain. Saya tak kacau orang. Saya juga tak pernah terlintas nak cetuskan kontroversi. Saya hanya buat kerja sebagai penghibur dan netizen yang memandangnya dari sudut lain.
"Saya akui kadang-kadang sedih kerana kecaman yang diterima agak keterlaluan sehingga membabitkan dosa dan pahala," katanya.
Dua hari yang lalu di Instagram, Baby Shima meluahkan rasa kesal ramai yang membenci dirinya sedangkan dia tidak pernah menimbulkan masalah dengan orang lain.
"Shima tak pernah kacau orang lain, rumah tangga orang, keluarga orang, minta duit mak ayah korang, tak pernah. Terus terang Shima cakap Shima dah tak kuat dengan apa yang Shima dah lalui sekarang. Boleh tak korang rasakan apa yang Shima rasa?" tulisnya.
Ramai rakan-rakan artis yang meninggalkan komen meminta dia bersabar dengan segala dugaan dan cabaran, serta usah terlalu memikirkan apa yang netizen katakan.
Dalam posting terbaru, Baby Shima memuat naik gambar ubat penenang yang dipercayai diambil untuk menenangkan dirinya dari segala kekusutan.
Sumber: Harian Metro, Instagram Baby Shima
Post a Comment