Kakitangan KPM paling ramai belum vaksin, JPA belum mula ambil tindakan terhadap penjawat awam enggan ambil vaksin


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman semalam mendedahkan, kakitangan di Kementerian Pendidikan (KPM) dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. 


Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada waktu ini masih sedang mengemas kini data penjawat awam yang belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi. 


"Setakat hari ii, data sedang dikemas kini dan JPA akan padankan balik apakah alasan yang mereka berikan untuk dikecualikan daripada vaksinasi. 


"Alasan yang diberikan kemudian akan dirujuk oleh setiap ketua jabatan. Jadi ketua jabatan perlu turun ke bawah melihat dan memahami apa alasan yang diberikan untuk tidak divaksinasi," katanya. 


JPA sebelum ini mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin dua dos sebelum 1 November atau berdepan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. 


Setakat ini, JPA masih belum mengambil sebarang tidakan terhadap penjawat awam yang belum mengambil vaksin. Sebaliknya menyerahkan keputusan kepada ketua jabatan masing-masing untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap kakitangan yang menolak vaksin. 


"Kita faham, ada yang khuatir, takut dan tidak boleh menerima vaksin kerana mereka pesakit kanser, baru bersalin dan dijangkiti Covid-19. Kumpulan ini diberi pengecualian. 


"Kita bukannya nak menghukum tetapi perkhidmatan kita tak boleh terhenti. Kita minta ketua jabatan untuk melihat dan memahami serta cuba tangani. Kalau boleh terima alasannya, terima," katanya. 


Sumber: Astro Awani, Harian Metro

No comments