'One way to keep Clown happy, McDonald's' - TMJ kirim McD meal kepada Sanusi
‘Perang’ media sosial antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semakin hangat dan mendapat pelbagai reaksi netizen. Tidak dapat dipastikan sama ada ini semua hanya gimik atau sebaliknya bagi menghangatkan lagi perlawanan bola sepak antara kedua pasukan pada Khamis ini.
Terbaharu, TMJ berkongsikan melalui IG Story, Sanusi menerima penghantaran daripada TMJ berbentuk makanan segera McDonald’s.
“No diet? One way to keep Clown happy. McDonalds… Always work,” tulis TMJ.
Turut diserahkan ialah sejambak bunga dengan mesej tertulis: “Dengan ingatan tulus ikhlas, TMJ.”
Kiriman daripada TMJ itu dibalas pula oleh Sanusi di Facebook.
“Coqkodok pisang dan coqbilih kucai tetap menjadi pilihan walaupun ada setambun McD di depan. Selera bahan tempatan yang segar tak mungkin dapat direntap burger dan ayam daging hidangan mat saleh hidung merah berkasut besar,” tulisnya.
Isu ini bermula apabila Tunku Mahkota Johor itu mempersoalkan tentang isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dilaporkan sudah tertunggak selama dua bulan. Tunku Ismail menempelak pengurusan KDA yang didakwa tidak serius menguruskan kebajikan pemain setelah tunggakan itu diselesaikan apabila hendak berdepan JDT.
“Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol,” tulis Tunku Ismail.
Teguran pedas Tunku Ismail itu tidak disenangi Sanusi yang akhirnya memberi maklum balas menerusi laman media sosial rasmi Facebook miliknya. Sanusi menjelaskan bahawa pihaknya baru sahaja menyelesaikan tunggakan gaji pemain Kedah.
“La ni bulan sebelas dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” tulis Sanusi.
Sebelum ini, heboh diperkatakan mengenai tunggakan gaji membabitkan pemain KDA yang didakwa tidak dibayar selama dua bulan. Bagaimanapun, Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak akhirnya mendapat perkhabaran gembira menjelang aksi menentang JDT dalam aksi suku akhir Piala Malaysia apabila pengurusan KDA sudah menjelaskan tunggakan tersebut.
Sumber: Kosmo, CPJ
Post a Comment