Gagal kemukakan dokumen terperinci, KPDNHEP buka kertas siasatan terhadap restoran jual ikan Siakap RM1,196.80
Tempoh telah diberi, namun pengusaha restoran terapung yang tular di media sosial baru-baru ini, dilaporkan gagal mengemukakan dokumen perniagaan yang lengkap seperti dikehendaki oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kini, kertas siasatan akan dibuka dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut, demikian kata Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid.
"Peniaga itu memberi kerjasama baik kepada KPDNHEP, namun malangnya gagal memenuhi arahan menghantar dokumen perniagaan lengkap dan terperinci. Tempoh penghantaran dokumen terperinci itu dilanjutkan bagi membolehkan peniaga itu membetulkan kesilapan berkenaan.
"Bagaimanapun, ia masih tidak dapat dipenuhi sehingga 17 November lalu menyebabkan kertas siasatan dibuka dan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjutnya," katanya.
Jelasnya, tindakan itu dilakukan kerana peniaga terbabit gagal menyelenggara dan menyimpan rekod dengan wajar. Bagi kesalahan itu, peniaga boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 mengikut Seksyen 53(A) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika disabit kesalahan.
"Siasatan lanjut atas kesalahan mencatut tidak dapat dijalankan disebabkan dokumen perniagaan dihantar peniaga itu tidak memberi maklumat terperinci berhubung kos operasinya. Peniaga itu hanya menyatakan harga jualan ikan siakap iaitu RM16 bagi setiap 100 gram, tidak pernah berubah sejak tiga tahun lalu. Namun ia bukan bukti kukuh dan tidak mencukupi bagi melakukan siasatan," katanya.
Justeru, Rosol Wahid menasihatkan golongan peniaga sentiasa menyimpan rekod perniagaan termasuk resit pembelian bagi memudahkan proses penyiasatan KDPNHEP jika berlakunya sebarang isu berbangkit.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment