(Video) 'Yang komen negatif sebenarnya mereka yang bodoh' - Adegan cium kaki suami dikecam, Rashid tampil pertahankan telefilemnya Ayat Dari Langit
Klip video yang menunjukkan adegan seorang pelakon wanita mencium kaki suaminya dalam sebuah telefilem tempatan yang ditayangkan di Astro Citra baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Pelakon, Ellie Suriaty, dalam telefilem Ayat Dari Langit itu dilihat menjirus air pada kaki suaminya sebelum mencium kaki lelaki itu.
"Cara dia berlakon betul keterlaluan. Haram bagi wanita cium lelaki bukan mahram," kata netizen.
"Itu kaki suaminya yang betul-betul kot. Lepas itu cut, sambung cerita. Takkanlah dia nak cium kaki orang lain, kan?" kata netizen yang lain.
Apa yang pasti, rata-rata netizen memberikan komen negatif tanpa walaupun belum menonton telefilem tersebut.
Hal itu membuatkan pengarahnya, Rashid Sibir, tampil menyelar golongan netizen yang melemparkan komen-komen negatif yang tidak bersikap terbuka apabila menonton cerita seperti itu.
"Pada saya, warganet yang komen negatif sebenarnya adalah mereka yang bodoh. Semua pihak perlu melihat pada karakter watak Zaharah, bukan peribadinya sebagai Ellie Suriaty.
"Dia bukan Ellie apabila membawa watak berkenaan. Dia antara pelakon yang pada saya sanggup melakukan apa saja demi karakter. Dia bagus dan apa yang ditunjukkan itu memang patut.
"Ia untuk tunjukkan kesayangan, kecintaan dan kesetiaannya kepada suami Ustaz Muiz. Kalau suaminya kata mati masuk syurga, dia buatlah kerana dia pun nak masuk syurga.
"Jadi, jangan pertikaikan Ellie. Warganet harus bersikap minda terbuka apabila menonton cerita begini. Kalau kita buat cerita cinta, orang asyik kutuk. Apabila kita buat cerita agama dan ajaran sesat, dikutuk juga. Kau nak apa sebenarnya warganet?
"Pengiat seni cuba nak bagi segala benda merangkumi cerita sedih, komedi, cinta dan sebagainya. Tapi kalau semua cerita yang dibuat kau gelakkan, apa yang mereka nak sebenarnya? Namun, kecaman itu tandanya warganet menonton drama ini," katanya.
Dalam pada itu, Rashid menjelaskan memang dai ada meminta Ellie melakonkan babak itu dan menjelaskan watak Zaharah adalah seorang isteri yang sangat taat dan percaya pada ajaran suaminya sehingga sanggup mati untuk lelaki itu.
Perbuatan (mencium kaki) dilakukan sebagai cara bagi menunjukkan kasih sayang dan hormat pada suami, tidak lebih daripada itu.
"Masa saya suruh buat, Ellie ingat saya main-main. Selepas itu dia buat betul-betul dalam bentuk yang paling menarik dengan cara pegang kaki suaminya itu," katanya.
Mengulas mengenai telefilem tersebut, Rashid berkata ia berkisarkan ajaran sesat di mana Ustaz Muiz mengajar ajaran sesat dan Zaharah adalah antara pengikutnya. Ustaz Muiz juga katanya bebas meniduri perempuan lain di situ kerana zina adalah halal baginya.
"Zina adalah halal baginya, itu yang saya nak tunjukkan, serta taatnya seorang isteri kepada suami. Bagi saya, lakonan Ellie sangat memberi impak maksima dan tak ramai pelakon sepertinya," kata Rashid.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment