'Tak perasan lampu isyarat masih merah' - Pemandu Honda City balik terus ke rumah selepas kemalangan
Susulan video kemalangan yang membabitkan seorang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat yang viral di media sosial, pemandu Honda City WXT 9590 tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemandu berusia 33 tahun itu tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada jam 5 petang semalam untuk membantu siasatan berhubung kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran Selayang.
Menurut keterangan pemandu itu, lelaki berkenaan menjelaskan dia sebenarnya tidak perasan lampu isyarat di laluannya masih merah.
Apabila berlakunya kemalangan dengan penungang motosikal itu, pemandu Honda City itu terkejut dan terus memecut balik ke rumah kerana ketakutan.
Keputusan ujian saringan air kencing ke atas pemandu itu didapati negatif dadah.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penunggang motosikal terbabit untuk tampil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment