'Mayat ditemui dengan beberapa kesan tikaman di dada' - Ibu tunggal maut dibunuh di depan 2 anaknya


Seorang ibu tunggal ditemui maut, disyaki ditikam dalam pergaduhan dengan seorang lelaki di depan dua anak mangsa yang masih kecil di rumahnya di Taman Perpaduan, di sini, malam tadi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai pergaduhan antara mangsa berusia 31 tahun dengan suspek berumur 23 tahun pada jam 8.45 malam.


"Sebaik saja tiba di kediaman itu, polis menjumpai mayat mangsa dengan beberapa kesan tikaman pada dada, bersama suspek lelaki.


"Suspek lelaki yang turut cedera akibat beberapa tikaman pada dadanya, ditemui terbaring serta berdarah di dalam rumah itu," katanya pemberita di lokasi kejadian, di sini, malam tadi.



Anuar berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja di sebuah rumah jagaan orang tua, di sini, dan tiada hubungan kekeluargaan dengan suspek.


Bagaimanapun, beliau memaklumkan, suspek pernah ditahan pada 15 Mac lalu serta didakwa di mahkamah selepas mangsa beberapa kali membuat laporan polis mengadu diganggu lelaki itu.


Katanya, suspek telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah, manakala mayat mangsa juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.


Namun, Anuar berkata, belum dapat dipastikan sama ada tikaman di dada suspek dilakukan wanita itu atau lelaki terbabit cuba membunuh diri.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan. Rakaman percakapan saksi kejadian dan kedua-dua anak lelaki mangsa berusia enam serta lapan tahun sedang dilakukan, termasuk untuk mengetahui hubungan sebenar mereka," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.  


Sumber: Bernama

No comments