Takut gambar bogel disebar lelaki baru dikenali, gadis 15 tahun lapor polis


Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun kini berada dalam ketakutan selepas lelaki yang dikenalinya dari Instagram mengugut mahu menyebarkan gambar-gambar bogelnya di media sosial. 


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 4.08 petang Jumaat, 9 April 2021 mengenai ugutan tersebut. 


Difahamkan, mangsa sudah mengenali suspek sejak tiga bulan lalu. Dalam tempoh itu, mangsa telah dipujuk oleh suspek untuk berbogel ktika berbual menerusi panggilan video. 


Mangsa tanpa mengesyaki apa-apa bersetuju dan menunaikan permintaan suspek. Dalam masa yang sama, suspek melakukan screenshot pada video tersebut tanpa pengetahuan mangsa. 


Suspek kemudian mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar tersebut jika mangsa tidak memperkenalkan rakan-rakan wanitanya kepada suspek. 


Bimbang gambar itu tersebar, mangsa segera membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. Bertindak di atas laporan itu, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 


Beh juga menasihatkan para pengguna media sosial tidak mudah terpengaruh dengan individu yang baru dikenali di media sosial. 


Sumber: Harian Metro

No comments