'Jangan kecam, kami kerja siang malam cari wang buat rumah & beli kereta' - Isteri peniaga burger tegaskan mereka tidak mengambil kesempatan


Pembaca Astro Awani baru-baru ini dipuji netizen kerana berani melemparkan kata-kata pedas terhadap pihak berkuasa yang mengenakan kompaun RM50,000 kepada peniaga di Kelantan. 


"Sekarang ini, ramai yang hidup secara ala kadar. Ketika otak yang letaknya di atas, tetapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut.. mengenakan kompaun RM50,000 kepada penjaja kecil yang hanya berniaga di kawasan kampung sendiri," kata pembaca berita berkenaan. 


Semuanya bermula dengan kisah seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi had waktu yang ditetapkan ketika PKP. 


Ramai yang menawarkan diri untuk membantu peniaga berkenaan membayar kompaun tersebut, termasuk golongan selebriti. Namun, peniaga itu enggan menerima kerana masih menunggu keputusan rayuan. 


Pada masa yang sama, ada beberapa individu yang mendedahkan mengenai gaya hidup peniaga berkenaan yang dikatakan mewah dan sebelum ini pernah dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama. 


"Kedai dia lama sangat dah duk langgar SOP. Buka kedai sampai pukul 1-2 pagi. Sejak dari PKP pertama lagi. Pastu jadi port lepak sampai penuh kereta depan tangga rumah dia. 


"Polis pernah datang beri amaran sebab langgar SOP dan orang kampung pun report sebab jadi port lepak sampai jam 1.2 pagi. Sebab itulah dia kena saman, langgar SOP," dedah pengguna Facebook bernama BUX. 



Turut didedahkan, peniaga berkenaan memiliki rumah mewah dan kereta Honda Civic (ketam) selain berbelanja di restoran mahal di Tomahawk di mana perbelanjaan makan sekeluarga sahaja mencecah RM896.60. 


Pendedahan itu membuatkan netizen terfikir, apakah peniaga ini layak diberi bantuan berbanding dua lagi peniaga colek dan kedai runcit yang sememangnya orang susah. 


Tidak berdiam diri, isteri kepada peniaga burger berkenaan, Norlaili Shafien, 37, tampil memberi penjelasan.


"Saya tidak pernah kata hidup susah atau meminta bantuan. Namun jumlah kompaun RM50,000 itu terlalu besar bagi kami yang mencari makan dengan berniaga. Kami juga tidak mahu perkara ini dikenakan kepada peniaga lain," katanya memetik laporan dari Harian Metro, 29 April 2021. 


"Saya tidak menerima bantuan itu (dari orang ramai) kerana masih tidak tahu jumlah sebenar kompaun yang dikenakan kepada kami. Memang ramai nak bantu dan minta nombor akaun bank, namun setakat ini kami tidak mahu menerima bantuan berkenaan kerana tidak mahu menimbulkan sebarang isu," katanya. 



Menjelaskan mengenai rumah dan kereta mewah mereka seperti yang viral di media sosial, Norlaili menegaskan rumah yang didiami keluarganya itu adalah di atas tanah pusaka dan dibina hasil dari simpanan berniaga burger selama 16 tahun, menjual kuih muih dan tudung dari jam 6 petang sehingga 7 pagi. 


Selain itu, Norlaili terpaksa menjual barang kemas sebanyak RM30,000 serta meminjam daripada ibu dan adik beradiknya yang sehingga kini difahamkan masih belum dibayar sepenuhnya. 


"Kami kerja siang malam mencari wang untuk membuat rumah dan membeli kereta kerana selama ini kami menumpang di rumah ibu selama 11 tahun bersama tiga beradik lain," katanya. 



Mengenai gambar mereka sekeluarga makan di restoran mewah, Norlaili menjelaskan bayaran itu dikongsi bersama tiga beradiknya yang lain. 


"Saya minta orang ramai tidak mengecam kami kerana kami tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isu ini," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Facebook Nia

No comments