Pengamal perubatan tradisional mati ditembak, disyaki bermotifkan dendam


Seorang pengamal perubatan tradisional mati ditembak di rumah sewa di Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, semalam. 


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian tersebut dipercayai bermotifkan dendam dan mangsa, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, maut di lokasi kejadian. 


Terdahulu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 11 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi. Sebaik tiba, polis mendapati mangsa tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di kepala dan kesan darah kering. 


Ketika kejadian, mangsa berseorangan di rumah dan ibunya berniaga ikan di tapak niaga Bukit Rangin Perdana 2, 200 meter dari rumah.


Siasatan awal forensik mengesyaki mangsa mati ditembak berikutan terdapat beberapa kesan tembakan pada badan. 


"Mangsa yang sudah berkahwin baru saja mendapat anak lelaki. Mangsa tinggal bersama ibunya yang berusia 60 tahun dan menjalankan aktiviti perubatan tradisional. 


"Isteri mangsa kini sedang berpantang di rumah ibu mentua di Pekan," katanya. 


Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

No comments